Sekumpulan
wartawan dan jurugambar menempuh pengalaman mendebarkan apabila
terserempak anggota militan bersenjata ketika membuat tinjauan di
Kampung Tanjung Labian, Felda Sahabat dekat sini, hari ini.
Lebih mencemaskan, lapan wartawan dari pelbagai syarikat media itu
"dipaksa" berlari bersama penduduk yang secara tiba-tiba keluar dari
tempat persembunyian dan bertempiaran meninggalkan kampung itu.
Kejadian pada kira-kira 10 pagi itu membabitkan wartawan dan jurugambar
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), jurugambar The Star, New
Straits Times serta jurukamera dan pemberita Bernama TV dan Al-Hijrah.
Mengimbas kembali,
wartawan BERNAMA, Mohd Hisham Abdul Rafar, berkata pada mulanya beliau
bersama rakan media mendapati perkampungan yang dikelilingi ladang
kelapa sawit itu lengang dan suram.
Malah, mereka yang
tiba dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda dan Proton Saga juga
menggambarkan penempatan itu seolah-olah "kampung berhantu" kerana
rumah-rumah tiada berpenghuni serta tidak berkunci dengan binatang
ternakan berkeliaran.
"Seperti biasa, kami menjalankan tugas mencari berita dan merakam keadaan kampung.
Tiba-tiba sekumpulan penduduk termasuk kanak-kanak bergegas keluar dari beberapa penjuru kampung, seolah-olah lari dari sesuatu.
"Terkejut dengan keadaan itu, kami menahan seorang daripada mereka bagi
bertanyakan apa yang berlaku dan dimaklumkan mereka bertindak demikian
setelah mendengar empat das tembakan dilepaskan dari dalam kawasan itu,"
katanya.
Menyedari keadaan
itu boleh mengancam keselamatan, Mohd Hisham yang sebelum ini pernah
mengikuti misi kemanusiaan ke Pakistan segera beredar dari lokasi itu
bersama rakan media lain.
Jurufoto The Star,
Normimie Diun, 38, berkata situasi bertambah genting apabila beliau yang
ketika itu berada di dalam kenderaan terlihat sosok seorang lelaki
berpakaian serba hitam yang memegang senjata berdiri berhampiran
sebatang pohon kelapa sawit, kira-kira enam meter dari kedudukan mereka.
Cemas dengan keadaan itu, beliau dan rakan-rakan terus menundukkan kepala dan pemandu terus memecut meninggalkan kawasan itu.
Dalam pada itu
katanya, beliau masih sempat menjerit mengingatkan rakan-rakan supaya
tidak merakamkan gambar kerana khuatir lelaki itu bertindak ganas.
"Saya sempat
menjenguk keluar dan terlihat lelaki itu terus duduk dan berselindung di
sebalik pokok berkenaan. Saya masih terperanjat, namun bersyukur
penceroboh itu tidak melepaskan tembakan," katanya.
Normimie berkata,
dalam perjalanan pulang mereka kemudiannya berselisih dengan beberapa
kenderaan polis yang menuju ke kampung berkenaan.
Kesemua kumpulan
wartawan itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiba dengan selamat
di Felda Sahabat 16, kira-kira 130 kilometer dari pekan Lahad Datu.
Pasukan keselamatan
melancarkan Op Daulat di kawasan sekitar Lahad Datu berikutan insiden
pencerobohan oleh kumpulan militan bersenjata dari Selatan Filipina yang
berlarutan sejak 12 Februari lalu.
No comments:
Post a Comment