Petaling Jaya, 13 Mac - Dua anggota tentera
yang terkorban dalam insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu
dinaikkan pangkat kepada Koperal penuh, kata Menteri Pertahanan Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
Beliau berkata imbuhan untuk kedua-dua ibu bapa Allahyarham Ahmad Hurairah Ismail, 24, dan Ahmad Farhan Ruslan, 21, akan diberi melalui beberapa faedah perkhidmatan.
"Wang bukan boleh mengubati kesedihan kehilangan orang tersayang tapi
ia tanda rasa prihatin daripada Kementerian Pertahanan, warga Angkatan
Tentera dan rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita di Pangkalan TUDM
Subang, di sini
hari ini. Beliau hadir memberikan penghormatan terakhir apabila jenazah dua wira negara itu diterbangkan ke sini dari Sabah.
Turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ahmad Hurairah merupakan anggota Angkatan Tentera Malaysia pertama yang
terkorban sejak insiden pencerobohan pengganas di Sabah 12 Feb lepas.
Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu terkorban dalam pertempuran yang
berlaku pada 10.45 pagi semalam manakala Ahmad Farhan Ruslan yang
berasal dari Pasir Tumbuh, Kota Baharu, Kelantan terkorban dalam
kemalangan di Jalan Tungku,
Kampung Bakapit, Lahad Datu pada pukul 7.30 pagi semalam.
Sementara itu, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zulkifli Zainal
Abidin berkata ibu bapa kedua-dua anggota yang terkorban itu akan
menerima pencen terbitan kira-kira RM2,500 dan perincian mengenainya
akan diumum kemudian.
Beliau berkata mereka juga akan
menerima faedah lain secara kumulatif hampir RM170,000 termasuk insurans
berkelompok daripada koperasi dan Tabung Angkatan Tentera.
Jenazah kedua-dua anggota tentera itu tiba di Pangkalan Udara TUDM pada
pukul 8 pagi dan diterbangkan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra
Pengkalan Chepa di Kota Baharu pada pukul 8.45 pagi untuk dikebumi di
kampung halaman masing-masing. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment