Lahad Datu, 4 Mac - Jenazah dua pegawai dan
empat anggota polis yang terkorban dalam kejadian tembakan di Kampung
Seri Jaya, Simunul, Semporna kelmarin, akan dihantar balik ke kampung
masing-masing hari ini.
"Jenazah akan diterbangkan bermula
pukul 1 petang ini dari Lapangan Terbang Tawau," kata Pesuruhjaya Polis
Sabah Datuk Hamza Taib pada taklimat media di Felda Sahabat, kira-kira 130 kilometer dari sini, pagi ini.
Mereka yang terkorban ialah Supt Ibrahim Lebar dari Bukit Aman, ASP
Michael Padel dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Sarjan
Detektif Baharin Hamit dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Sarjan
Aziz Sarikun dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, Kpl Salam Togiran (IPD
Tawau) dan L/Kpl Mohd Azrol Tukiran (PGA Tawau).
Hamza
berkata senarai penuh nama pegawai dan anggota yang terkorban akan
dipapar pada laman sesawang rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kesemua mereka terkorban selepas diserang hendap ketika melakukan
siasatan di kampung itu susulan maklumat mengatakan ada kumpulan
bersenjata bersembunyi
di situ.
Dalam kejadian pukul 8
malam itu, enam lelaki daripada kumpulan penceroboh bersenjata tersebut
turut maut. Menurut Hamza, polis masih melakukan siasatan di lokasi
kejadian.
Beliau turut menegaskan keadaan keselamatan di
Lahad Datu, Semporna dan Kunak adalah keadaan terkawal. Mengenai
kerjasama PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hamza berkata polis
hanya menggunakan aspek teknikal ATM dalam operasi kawalan keselamatan
itu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment