KEADAAN KESELAMATAN DI KUNAK, SANDAKAN DAN SEMPORNA TERKAWAL – KPN
LAHAD DATU, 4 Mac - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar sekali lagi
menegaskan keadaan keselamatan di Kunak, Sandakan dan Semporna adalah
terkawal.
Beliau turut menafikan khabar angin mengenai huru-hara berlaku di Kunak, Sandakan dan Semporna.
"Sehingga kini keadaan keselamatan masih terkawal dan tiada keadaan huru-hara seperti
digembar-gemburkan dalam media sosial," katanya pada siding akhbar
bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di sini
hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas
tahap keselamatan di Sabah setelah 21 hari insiden pencerobohan kumpulan
bersenjata di Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari bandar Lahad
Datu.
Ismail berkata polis akan menjalankan siasatan dan
mengambil tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang
menyebarkan khabar angin yang boleh mencetuskan kekeliruan orang ramai.
"Kami sedang memikirkan aspek perundangan untuk ambil tindakan terhadap mereka (yang menyebarkan maklumat palsu)," katanya.
Beliau berkata polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini
bekerjasama erat bagi memastikan keadaan keselamatan di Sabah aman dan
terkawal.
Sementara itu Zulkifeli berkata pihaknya menggerakkan
anggota tambahan bagi membantu polis mengawal keselamatan di kawasan
pantai Timur negeri ini.
"Kami akan membantu polis untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan Sabah," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment