Lahad Datu, 9 Mac - Keadaan di Felda Sahabat adalah terkawal biarpun bunyi beberapa siri letupan bom dilepaskan di kawasan zon merah
dalam Op Daulat selepas 24 jam tiada pertempuran berlaku antara pasukan
keselamatan dan penceroboh militan Sulu yang menjadikan Kampung Tanduo
dan Tanjung Batu, 130 kilometer dari bandar Lahad Datu, sebagai kubu sejak 12 Feb lalu.
Malah di bandar Lahad Datu dan bandar Semporna, yang terletak 150
kilometer dari sini, adalah terkawal dan tenang dengan aktiviti
masyarakat serta premis perniagaan berjalan seperti biasa.
Di
Felda Sahabat 16, kedengaran beberapa bunyi dentuman bom yang datang
dari kawasan zon merah Op Daulat pada 1 pagi dan 7.30 pagi.
Selain itu pada pagi ini turut kedengaran pesawat helikopter berlegaran di ruang udara Felda Sahabat.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meninjau markas Op
Daulat di Felda Sahabat, Khamis lalu berkata Malaysia menolak sebarang
tawaran gencatan senjata dan menegaskan satu-satunya pilihan bagi
penceroboh itu ialah letak senjata dan serah diri tanpa bersyarat.
Gerakan Op Daulat yang memasuki hari kelima hari ini mengesahkan 52 penceroboh militan terbunuh.
Sejak pencerobohan itu juga seramai lapan anggota polis terkorban iaitu
dua wira terkorban dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan
enam lagi dalam serang hendap di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna
pada 2 Mac.- BERNAMA
No comments:
Post a Comment