Pasukan keselamatan telah melancarkan tindakan
'offensive' terhadap kumpulan pengganas yang bertapak di Kampung
Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada jam 7.00 pagi tadi. Operasi ini
dilaksanakan oleh PDRM bersama pihak ATM.
Sejak operasi ini dimulakan sehingga kini, masih terdapat tentangan
dalam bentuk beberapa das tembakan yang dilepaskan oleh pihak musuh.
Ketika ini 'mopping up' dan penggeledahan sedang dijalankan.
Bagaimanapun, jumlah kematian dan kecederaan di pihak musuh masih belum
dapat disahkan dan setakat ini tidak ada kemalangan di pihak pasukan
keselamatan.
Oleh itu semua pihak dinasihatkan agar tidak
membuat andaian atau spekulasi tentang sebarang kehilangan nyawa
memandangkan operasi ini masih lagi berjalan. Berita-berita yang tidak
tepat boleh menjejaskan operasi ini.
Orang ramai tidak perlu
bimbang kerana operasi ini hanya dilancarkan di Kampung Tanduo sahaja.
Oleh itu orang ramai dinasihatkan supaya tidak masuk ke kawasan operasi
dan seterusnya menerima arahan dan mematuhi nasihat pihak polis yang
bertugas di sekatan jalanraya yang menghala ke Kampung Tanduo.
No comments:
Post a Comment