Kuala Lumpur, 7 Mac - Pasukan keselamatan
mengadakan kepungan di laut dan darat bagi mengekang kemasukan bekalan
makanan dan persenjataan kepada kumpulan penceroboh bersenjata di Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata pihak keselamatan
turut menangkap penceroboh yang cuba masuk dan keluar daripada Kampung
Tanduo serta Tanjung Batu bagi mendapatkan bekalan makanan.
"Kita telah mengadakan kepungan setakat ini, jika mengikut jalan laut,
kita telah mengadakan kerjasama erat dengan pasukan seperti ATM
(Angkatan Tentera Malaysia dan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia). Kita
telah mengadakan kepungan di lautan dan di darat.
"Saya rasa
bekalan makanan itu tidak dapat masuk, kerana banyak juga cubaan yang
kita dapati yang mereka nak masuk dan nak keluar, kita berjaya menangkap
mereka," katanya ketika ditemu bual menerusi program Malaysia Hari Ini
(MHI) TV3
yang disiar secara langsung, di sini hari ini.
Penceroboh bersenjata dari selatan Filipina itu yang berkubu di Kampung
Tanduo, Felda Sahabat 17, Lahad Datu dikepung pihak keselamatan negara
sejak 12 Feb dalam usaha kerajaan menyelesaikannya secara aman.
Namun, pada 1 Mac kumpulan terbabit menyerang pihak keselamatan yang
mengorbankan dua anggota polis komando VAT 69 dan sehari selepas itu
enam lagi anggota polis terkorban
dalam serangan hendap di sebuah perkampungan di Semporna, juga angkara kumpulan penceroboh.
Mengenai kumpulan penceroboh yang dipercayai menyamar sebagai orang
awam susulan tindakan ofensif pihak keselamatan kelmarin, Hamza berkata
pihaknya mengadakan kepungan di Kampung Tanjung Batu bagi memastikan
tiada orang awam di
situ sebelum serangan dilakukan.
"Kalau ada jalan keluar pun, 'the only way out' ialah ikut jalan laut.
Bagaimanapun, saya tidak menafikan (wujud cabaran) kerana kita
berhadapan dengan manusia, jadi masing-masing ada tipu helah," katanya.
Berhubung penahanan empat suspek lelaki yang dipercayai mempunyai
kaitan dengan kumpulan penceroboh di Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna,
Hamza berkata polis masih menyiasat sejauh mana penglibatan suspek
dengan kumpulan berkenaan.- BERNAMA
No comments:
Post a Comment