Lahad Datu, 8 Mac - Ketua Polis Negara Tan Sri
Ismail Omar berkata lebih 50 individu yang disyaki mempunyai kaitan
dengan penceroboh militan di Lahad Datu ditahan mengikut Akta Kesalahan
Keselamatan (Langkah-Langkah Khas).
Beliau berkata mereka, termasuk wanita, ditahan di beberapa tempat di Sabah tetapi di luar kawasan Op Daulat. "Mereka
ditahan mengikut akta baharu itu (Akta Kesalahan
Keselamatan(Langkah-Langkah Khas) 2012) dan dibaca bersama (beberapa
seksyen) Kanun Keseksaan," katanya pada sidang akhbar bersama Panglima
Angkatan Tentera di sini pada 5 petang ini.
Gerakan Op Daulat
masuk hari keempat hari ini dengan helikopter diguna untuk menghantar
anggota keselamatan ke lokasi sekitar bagi operasi menggeledah manakala
jet pejuang berlegar di udara membuat tinjauan. Ismail berkata polis
kini mendapatkan maklumat daripada mereka yang ditahan berkaitan pihak
penceroboh militan bagi membolehkan pasukan keselamatan mencapai
objektif operasi.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan
butiran tangkapan itu secara terperinci kerana khuatir akan menjejaskan
siasatan. "Apapun, tangkapan itu perlu dan mesti dilaksana kerana ada
tanda-tanda kaitan suspek dengan penceroboh," katanya.
Sementara itu, Zulkifeli berkata sehingga 5 petang ini, pihaknya masih
menunggu Wisma Putra berkaitan perkembangan kumpulan penceroboh akan
menyerah diri dan meletak senjata tanpa syarat.
"Kami telah
hubungi Wisma Putra, dan masih tidak dapat apa-apa berita sejak pagi
tadi... tiada isyarat (serah diri dan letak senjata) daripada pihak
berkenaan. "Justeru itu, Op Daulat diteruskan," katanya sambil
menjelaskan tiada kejadian pertempuran antara pasukan keselamatan dan
musuh hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,
yang meninjau markas Op Daulat di Felda Sahabat semalam, berkata
Malaysia menolak sebarang tawaran gencatan senjata serta menegaskan
satu-satunya pilihan bagi penceroboh ialah letak senjata dan serah diri
tanpa bersyarat. -BERNAMA
No comments:
Post a Comment