Kuching, 4 Mac - Mendiang ASP Michael Padel, 36, pegawai polis yang terkorban semasa serang hendap oleh kumpulan penceroboh bersenjata
di Semporna, Sabtu lepas akan disemadikan di Makam Pahlawan di sini
Rabu ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani hari ini berkata kerajaan negeri Sarawak telah mengarahkan supaya
mendiang Michael disemadikan bersama-sama pahlawan Sarawak di makam itu
yang termasuk penerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan
Pingat Gagah Berani (PGB) Datuk Temenggung Kanang Langkau yang meninggal
dunia Januari lepas.
Bercakap kepada pemberita selepas
upacara penghormatan terakhir untuk mendiang Michael di Pangkalan Udara
Pasukan Gerakan Udara Polis di sini, beliau berkata upacara pengebumian
dijangka bermula pukul 11 pagi.
Sementara itu, Yang Dipertua
Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Barieng dan Ketua Menteri
Tan Sri Abdul Taib Mahmud mendahului upacara penghormatan terakhir yang
berlangsung dalam suasana pilu.
Sebelum itu, pesawat Tentera
Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa mendiang Michael yang diiringi
isterinya, Jabah Mingku, 35, dan anaknya Macluie Michael, 11, tiba
kira-kira 5.30 petang, sebelum kerandanya dibawa keluar ke pusat
pangkalan itu untuk upacara penghormatan terakhir.
Suasana
pilu menyelubungi upacara itu yang dihadiri kira-kira 1,000 orang
termasuk warga polis dan tentera di sini. Selesai upacara itu, mayat
mendiang Michael dibawa ke kediaman keluarganya di Kampung Tebakang,
Serian, kira-kira 50km dari sini.- BERNAMA
No comments:
Post a Comment