Lahad Datu, 9 Mac - Pasukan keselamatan yakin anggota militan bersenjata dari Selatan Filipina kini bergerak dalam kumpulan kecil
setelah terperangkap dalam kepungan di Kampung Tanduo dan Kampung
Tanjung Batu, kira-kira 130 kilometer dari sini.
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kawalan ketat yang dilakukan di lokasi berkenaan sejak Op Daulat dilancarkan bagaimanapun tidak memungkinkan penceroboh bersenjata itu memboloskan diri.
"Berdasarkan kejadian dan tindakan yang diambil, kami berkeyakinan
besar bahawa sememangnya mereka kini terperangkap di Kampung Tanduo dan
Kampung Tanjung Batu.
"Jadi, kami akan meneruskan kepungan dan
membuat penggeledahan, fokus kami kini tertumpu pada kedua-dua tempat
dan kepungan dikekalkan bagi mengelak pihak musuh masuk semula ke
Kampung Tanduo selepas melarikan diri ke Tanjung Batu," katanya dalam
sidang media bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar di markas
operasi Op Daulat Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.
Seorang daripada militan Sulu maut ditembak di Kampung Tanjung Batu, di
sini selepas cuba memboloskan diri daripada kepungan pihak berkuasa
seorang diri dalam insiden pada 8 pagi ini.
Zulkifeli berkata
pasukan keselamatan akan mengetatkan lagi kepungan di kawasan hutan dan
berpaya di kedua-dua kampung berkenaan yang dikenal pasti dijadikan
laluan oleh kumpulan militan itu untuk meloloskan diri sebelum ini.
"Mereka tidak mungkin lepas daripada kepungan. Mereka cuma dapat keluar
dari Kampung Tanduo ke Kampung Tanjung Batu melalui jalan hutan
sekunder serta berpaya, bukan melalui jalan darat dan laut...jadi, kita
akan perketatkan kepungan di kawasan itu," katanya.
Beliau
berkata kepungan di Kampung Tanduo dijalankan membabitkan jarak seluas
empat kilometer persegi dan aktiviti pembersihan ke atas penceroboh akan
bermula di situ sebelum diperluaskan ke Kampung Tanjung Batu.
Zulkifeli berkata sejak gerakan ofensif dan beberapa serangan susulan
dilancarkan penceroboh kini mula menyembunyikan diri di dalam semak
serta hutan tebal dan pokok-pokok besar, bukan lagi di dalam rumah
penduduk.
Polis mengesahkan, selepas lima hari dilancarkan, Op
Daulat yang membabitkan pasukan polis dan angkatan tentera berjaya
membunuh 53 orang militan dengan 79 ditahan, manakala tiada anggota
pasukan keselamatan yang dilaporkan cedera atau
terkorban. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment