Sabak Bernam, 8 Mac - Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak hari ini melawat keluarga Sarjan Sabarudin Daud
yang terkorban dalam insiden tembak-menembak di Kampung Tanduo, Lahad
Datu, Sabah, di rumah mereka di Kampung Sungai Lias, Sungai Besar di
sini.
Najib yang tiba pada pukul 12 tengah hari meluangkan masa kira-kira 15 minit bertanya khabar keluarga Allahyarham sebelum menandatangani buku ucapan takziah yang ditempatkan di rumah itu.
Beliau turut menyampaikan bantuan berjumlah RM20,000 sumbangan Yayasan
Kelana Ehsan beserta sumbangan peribadinya kepada keluarga Allahyarham
bagi meringankan beban mereka.
Isteri Allahyarham, Nurunnisa
Abu Bakar, 42, berkata perdana menteri memaklumkan kepadanya bahawa
kerajaan Malaysia amat bangga dengan pengorbanan dan jasa arwah suaminya
yang meninggalkan tiga orang anak berusia antara 12 hingga 19 tahun.
"Perdana Menteri pun berpesan kepada saya supaya sentiasa tabah menjaga
anak dan tenang dalam menghadapi segala dugaan," kata suri rumah itu
ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini.
Najib singgah di
rumah Allahyarham Sabarudin ketika pulang dari merasmikan program
"1Malaysia Family Care" di Politeknik Sultan Idris Shah yang terletak
kira-kira 20 kilometer dari rumah itu.
Sabarudin, 46, adalah
antara dua anggota komando polis VAT 69 yang terkorban dalam kejadian
itu pada 1 Mac lepas apabila pasukan keselamatan bertembung dengan
kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina berkenaan. Turut
terkorban ialah Asisten Superitenden Polis (ASP) Zulkifli Mamat, 29.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk
Noriah Kasnon yang turut melawat keluarga Allahyarham berkata
kementeriannya akan membantu Nurunnisa meningkatkan pendapatan menerusi
kursus membuat kek dan pastri di bawah program 1Azam. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment