Lahad Datu, 9 Mac - Pasukan keselamatan menahan 27 orang yang menaiki tiga buah bot ketika berada di Zon Merah Op Daulat di kawasan pantai Tanjung Batu, dekat sini pada 10 pagi ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, mereka yang mendakwa
kononnya ingin menangkap ikan ditahan di atas bot masing-masing setelah
pihak keselamatan mencurigai kehadiran mereka di kawasan larangan itu.
"Kita curigai kehadiran mereka berhampiran lokasi operasi, jadi kita
serahkan kesemua mereka kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk
siasatan lanjut.
"Walaupun tiada senjata ditemui, saya telah
arahkan polis Daerah Lahad Datu untuk jalankan siasatan mendalam dan
akan ambil tindakan sewajarnya jika mereka mempunyai kaitan dengan
kumpulan penceroboh berkenaan," katanya dalam sidang media bersama
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di markas
operasi Op Daulat Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.
Beliau
berkata penahanan itu menjadikan jumlah mereka yang ditangkap kerana
disyaki mempunyai kaitan dengan militan dari Sulu meningkat kepada 106
orang, berbanding 79 orang semalam.
Berikutan operasi
membersih dan membanteras musuh sedang dijalankan, Ismail menasihati
orang ramai supaya tidak memasuki kawasan larangan yang ditetapkan
kerana boleh menjejaskan operasi selain membahayakan mereka yang tidak
berkenaan.
Berhubung 53 mayat penceroboh yang belum dibawa
keluar dari Zon Merah, beliau berkata semua militan yang ditembak itu
belum diperiksa oleh unit Forensik berikutan kedudukannya berhampiran
dengan lokasi di mana musuh berada dan keadaan itu boleh mengancam nyawa
pasukan sekiranya dihampiri.
Ismail berkata walaupun terdapat
beberapa mayat telah dibawa keluar, namun sejak unit Forensik diserang
Rabu lepas pihaknya terpaksa mengambil langkah lebih berjaga-jaga.
Katanya sehingga kini unit Forensik hanya merakamkan gambar penjenayah
yang terbunuh tetapi belum dapat menjalankan proses siasatan dan bedah
siasat ke atas mayat-mayat terbabit bagi tujuan pendakwaan.
Selepas lima hari dilancarkan, Op Daulat yang membabitkan pasukan polis
dan angkatan tentera berjaya membunuh 53 orang militan, manakala tiada
anggota pasukan keselamatan yang dilaporkan cedera atau terkorban. -
BERNAMA
No comments:
Post a Comment