Kuala Lumpur, 12 Mac - Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak menyifatkan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad
Datu sebagai peristiwa yang bukan sahaja membuka mata kerajaan, tetapi
juga seluruh rakyat Malaysia, terutama di Sabah, tentang betapa
pentingnya meningkatkan persiapan untuk menghadapi ancaman luar.
Sambil menegaskan bahawa kerajaan tidak akan memandang ringan tentang
keselamatan negara, beliau berkata segala usaha akan dilakukan untuk
memastikan pasukan keselamatan diberi latihan yang sebaik mungkin,
dilengkapi peralatan lebih canggih dan sentiasa bersedia untuk menangani
kejadian seperti itu.
"Saya rasa kita telah menikmati suasana
aman dan stabil yang begitu lama di Malaysia. Komunis meletak senjata
pada 1989 dan sejak itu, Malaysia dilimpahi suasana aman dan stabil
dalam tempoh yang cukup panjang.
"Kejadian itu (serangan di
Lahad Datu dan Semporna) merupakan ancaman luar dan kita perlu
menanganinya. Jadi, sekiranya kami membuat keputusan menambah
perbelanjaan untuk pertahanan dan keselamatan, janganlah rakyat
mempertikaikannya pula.
"Mereka perlu melihatnya sebagai
langkah untuk melindungi keselamatan, kedaulatan dan integriti wilayah
kita," katanya dalam program 'Conversation with the PM' melalui TV3
malam ini.
Sambil menegaskan bahawa kerajaan tidak akan
berkompromi tentangkeselamatan, kedaulatan dan integriti wilayah
Malaysia, perdana menteri berkata:
"Kita perlu berusaha sedaya upaya
untuk memastikan rakyat Malaysia, tanpa mengira di mana mereka berada
di negara ini, berasa selamat, terjamin dan masa depan mereka juga
dipelihara oleh kerajaan."
Pasukan keselamatan Malaysia
melancarkan 'Operasi Daulat' pada 5 Mac selepas pengganas Sulu membunuh
lapan anggota polis di Kampung Tanduo dekat Lahad Datu dan Kampung
Simunul di Semporna pada 1 dan 2 Mac.
Kumpulan pengganas itu
bersembunyi di Kampung Tanduo sejak 12 Feb dan tidak mengendahkan sikap
baik kerajaan yang sedia berunding tentang penyerahan diri mereka.
Sehingga kini, 54 pengganas terbunuh dan kira-kira 100 orang ditahan
kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas bersenjata
itu.
Najib seterusnya menegaskan bahawa usaha menjamin
keselamatan negara bukan sahaja menjadi tanggungjawab pasukan
keselamatan dan kerajaan, tetapi juga semua rakyat Malaysia melalui
peranan masing-masing, termasuk memberi sokongan kepada kerajaan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Malaysia memiliki
kemampuan dan aset yang mencukupi untuk melindungi keselamatannya.
"Saya rasa, untuk menangani pencerobohan bersenjata, kita memiliki aset
yang diperlukan, tapi, seperti yang saya nyatakan tadi, peristiwa ini
membuka mata kita, di mana terdapat jurang dari segi kemampuan kita, dan
kita harap akan dapat merapatkan jurang ini," kata Najib.
Beliau berkata memandangkan timur Sabah mempunyai lantai laut sepanjang
lebih 1,000 km, maka negeri itu menghadapi "cabaran besar" dari segi
keselamatan dan sejajar dengan itu, langkah lebih ketat perlu diambil.
"Kita pastinya perlu mempunyai lebih banyak aset dan sistem pengawasan yang lebih berkesan (di sana)," kata beliau.
Ketika melawat Lahad Datu baru-baru ini, Najib mengumumkan penubuhan
satu kawasan keselamatan khas yang merentas dari Kudat ke Tawau
(kira-kira sepanjang 1,400 km) untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan
di timur Sabah.
Diminta mengulas dakwaan media asing bahawa
pengganas Sulu bertindak demikian kerana dihasut pihak tertentu di
Filipina, termasuk mereka yang menentang presidennya, Najib berkata:
"Apabila saya bercakap dengan Presiden (Benigno) Aquino, beliau
memberitahu saya bahawa pihak mereka akan memulakan siasatan.
Sebenarnya, beliau membuat kenyataan yang sungguh menarik iaitu mereka
terdiri daripada golongan yang agak miskin.
"Sudah tentu
mereka tidak memiliki kemampuan untuk melancarkan operasi seperti itu
terhadap Malaysia dan oleh itu, beliau berpendapat mereka mendapat
pembiayaan dari tempat lain.
"Apa yang disyaki itu nampaknya
mempunyai asas yang cukup kuat, tapi kita perlu membuat siasatan dan
bukti yang secukupnya perlu diperoleh sebelum kita boleh menuding jari
kepada sesiapa," katanya.
Ditanya sama ada serangan pengganas
di Lahad Datu akan menjejaskan peranan Malaysia dalam proses damai di
selatan Filipina, Perdana Menteri berkata ia merupakan dua isu berlainan
kerana proses damai itu melibatkan kerajaan Filipina dan Barisan
Pembebasan Islam Moro (MILF).
Najib berkata pengganas di Lahad
Datu agak berbeza daripada MILF dan mereka membuat tuntutan yang aneh
dan tidak diiktiraf kerajaan Malaysia.
"Sebab itulah mereka
menggunakan keganasan dan ini sesuatu yang mendukacitakan. Bagaimanapun,
kita akan tangani perkara ini dengan cara yang kita fikir wajar,"
katanya.- BERNAMA
No comments:
Post a Comment