Lahad Datu, 12 Mac - Pasukan keselamatan
percaya 15 anggota penceroboh militan terbunuh dalam pertempuran di
Kampung Tanduo 1 Mac lepas.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk
Hamza Taib berkata sehubungan itu polis akan memeriksa semula kawasan
kubur yang ditemui di kampung itu pada 6 Mac, yang turut menyaksikan
polis menemui 12 mayat penceroboh.
"Sebelum ini kami jumpa sembilan mayat di dalam sebuah kubur dan
berdasarkan maklumat baru itu, kami percaya terdapat kubur lain di
kawasan itu," katanya pada sidang akhbar pagi ini.
Bagaimanapun, katanya, polis tidak akan mengeluarkan mayat-mayat di dalam kubur itu kerana ia telah mereput.
Sementara itu, Hamza berkata pasukan keselamatan mengeluarkan satu lagi
mayat dari Kampung Tanjung Batu semalam, menjadikan 23 jumlah
keseluruhan mayat yang dikeluarkan setakat ini.
"Saya juga
sahkan satu daripada 23 mayat itu ialah seorang jeneral dikenali sebagai
Musa yang mati dalam pertempuran di Kampung Tanjung Batu," katanya.
Beliau turut mengesahkan bahawa tiada pertempuran antara pasukan keselamatan dan penceroboh militan dalam tempoh 24 jam lepas.
"Tumpuan Operasi Daulat yang masuk hari kelapan hari ini ialah Kampung Tanjung Labian dan Kampung Tanjung Batu," katanya.
Beliau turut meminta orang ramai agar membantu pihak berkuasa dalam
menyalurkan maklumat untuk membanteras kumpulan pengganas militan yang
berkubu di Kampung Tanduo sejak 12 Feb lepas.
Sejak insiden
pencerobohan pengganas itu, lima anggota polis cedera manakala lapan
lagi terkorban iaitu dua dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac
dan enam dalam serangan hendap di Semporna pada 2 Mac.- BERNAMA
No comments:
Post a Comment