Saya bukan pro-kerajaan atau pro-pembangkang. Maklumat yang ada di blog ini ada macam-macam. Ada maklumat sahih, ada yang tidak sahih dan ada yang direka. Anda perlu melihat, semak dan menilainya sendiri. Saya merujuk semua maklumat untuk diri sendiri dan tidak bertanggungjawab ke atas maklumat di blog ini yang mungkin digunakan atau di salahgunakan untuk lain-lain tujuan.
Saturday 16 March 2013
RAKYAT DIINGAT ADA MUSUH LUAR CUBA GUGAT KEAMANAN NEGARA
Muar, 16 Mac - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin hari ini mengingatkan rakyat bahawa keamanan dan keadaan selamat yang dikecapi negara kini bukan jaminan ia akan berterusan, kerana musuh dari luar akan cuba merosakkan negara.
Katanya pihak terbabit cemburu dan tidak senang dengan kemakmuran yang sedang dikecapi kini, lebih-lebih lagi Malaysia dikategorikan negara paling selamat oleh Indek Keamanan Global (GPI).
"Malaysia antara negara yang paling selamat dan ini diiktiraf oleh GPI yang membuat penilaian tentang soal itu, malah kita berada di antara 20 negara paling selamat mengatasi Singapura.
"Hal di Lahad Datu memaksa kita hantar polis dan lima batalion tentera untuk menjaga keamanan di sana," katanya ketika berucap di majlis 'Bersatu Benteras Jenayah' Peringkat Daerah Muar di Dewan Bola Keranjang Bakri di sini hari ini.
Turut hadir isteri beliau Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye, Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Datuk Ayub Yaacob dan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata penghantaran pasukan keselamatan yang ramai ke Lahad Datu ialah untuk memastikan kestabilan keamanan di negara ini sentiasa dipelihara dan tidak menjejaskan kemasukan pelabur.
"Kita tak nak orang kata Malaysia tidak aman sehingga menjejaskan pelabur yang datang di negara ini. Kita nak pastikan negara aman dan tiada masalah," katanya. Majlis anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCPF itu dihadiri lebih 1,000 penduduk dari kawasan Bakri.
Beliau turut menyeru supaya rakyat di Lahad Datu memberi sokongan kepada pasukan keselamatan dengan membantu menyalurkan maklumat. "Ketua kampung mesti kerjasama bagi maklumat, jangan kerjasama dengan musuh dengan beri mereka guna masjid atau rumah kita," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment