LANGKAWI, 15 Mac (Bernama) - Tindakan tentera
laut Filipina menahan 35 pengganas Sulu yang cuba keluar dari Sabah
membuktikan hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Filipina.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penahanan
itu dimaklumkan kepadanya oleh rakan sejawatannya dari Filipina selain
memberitahu beliau semua pengganas terbabit akan dihadapkan di mahkahmah di sana.
"Siasatan akan dilakukan terhadap kesemua 35 mereka. Kita akan tunggu
laporan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan
Bersama rakyat sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi
(LIMA) 2013 di sini malam tadi.
Ahmad Zahid berkata Malaysia
juga sedang berusaha untuk mendapat perintah bagi memungkinkan pengganas
terbabit didakwa di negara ini.
Semalam agensi berita luar
negara melaporkan 35 pengganas itu termasuk seorang wanita ditahan oleh
dua buah kapal tentera laut Filipina berhampiran Pulau Tawi-Tawi,
kira-kira 12 kilometer dari perairan Sabah.
Ketua
Pemerintah Tentera di Mindanao Barat, Lt Jen Rey Ardo dipetik sebagai
berkata mereka yang ditangkap itu dipercayai saki-baki pengganas Sulu
yang memasuki Lahad Datu.
Beliau juga dilapor berkata ketika
ditahan suspek pengikut pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III
itu sedang menuju ke sebuah pulau di Filipina.
Sementara itu,
Ahmad Zahid berkata walaupun Malaysia dan Filipina tidak mempunyai
perjanjian ekstradisi untuk membolehkan Jamalul Kiram dibicarakan di
negara ini, ada peruntukan undang-undang yang boleh diteliti untuk
membenarkan perkara tersebut dilakukan.
"Secara konvensional
Malaysia pernah serahkan (pemimpin) Moro National Liberation Front
(MNLF)) Nur Misuari (yang berada di Sabah) ketika dia jadi pemberontak
kepada Manila. Kita harap beberapa perkara kajian perundangan dilakukan
supaya Jamalul Kiram dibawa ke Malaysia.
"Bezanya Nur Misuari
adalah rakyat Filipina dan dibawa ke Filipina manakala Jamalul Kiram
adalah rakyat Filipina, berada di Filipina dan tertakluk kepada
undang-undang Filipina," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid
membangkitkan persoalan mengenai kemampuan Jamalul Kiram membiayai
pasukan pengganasnya sedangkan dia sendiri yang perlu menjalani rawatan
dialisis, terpaksa bergantung kepada bantuan kewangan daripada kerajaan
Filipina untuk kelangsungan hidup.
"Ertinya dia tidak
berkemampuan, dia bukan raja berdaulat. Bagaimana senjata baru boleh
dibeli dan bagaimana pembiayaan dibuat terhadap penceroboh. Kekhuatiran
kita ada dalang-dalang yang menjadi pihak ketiga sama ada dari Malaysia
atau Filipina yang mendukung pencerobohan militan untuk raih sokongan
politik
"Jika bukti ini diperolehi, yang bukan sekadar dipetik
dari agensi berita antarabangsa, kita takkan berkompromi kepada
penderhaka yang menyebabkan pahlawan-pahlawan kita dari tentera dan
polis kehilangan nyawa
"Kita mahu rakyat hukum penderhaka.
Dalam soal pencerobohan tak harus beri kompromi walaupun sedikit. Rakyat
tak sanggup dan tak reda gadai kedaulatan Malaysia," katanya.
No comments:
Post a Comment