"TAK SANGKA AYUN YANG 'RASMI' DULU" - KAKAK L/KPL MOHD AZRUL
Klang, 4 Mac - "Dulu mak minta Ayun ubah suai rumah sebab nanti senang
bila mak meninggal dunia, tetapi tidak sangka Ayun pula yang akan
rasmikan dulu," kata Azrian Tukiran, kakak sulung L/Kpl Mohd Azrul, 27,
dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau yang terkorban dalam kejadian
serangan hendap sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna Sabtu lepas.
Azrian, 36, berkata ibu mereka, Sadiah Mohd Amin, 58, sebelum ini
meminta arwah mengubah suai rumah mereka di Jalan Telok Kapas, Kampung
Rantau Panjang di sini supaya lebih selesa untuk urusan pengebumian
apabila ibu mereka meninggal dunia, sebaliknya pengebumian Mohd Azrul
pula yang akan diurus di situ.
"Setiap kali arwah pulang
bercuti, saya dan suami akan ambil dan menghantarnya ke lapangan
terbang. Disember lepas adalah kali terakhir kami menghantarnya, dan dia
tidak akan balik lagi selepas ini. Dia insan terpilih, jadi kami
sekeluarga reda dengan pemergiannya," katanya yang gagal menahan
tangisan.
Azrian berkata beliau mendapat berita kematian
adiknya secara rasmi pada kira-kira 9.30 malam tadi melalui seorang
anggota polis yang ke rumah mereka.
Katanya, kali terakhir Mohd
Azrul menelefon bapa mereka ialah pada Jumaat lepas memaklumkan beliau
akan menyertai operasi di Semporna dan memberitahu bahawa dia tidak akan
dapat menghubungi semula kerana perlu mematikan telefon bimbit
sepanjang operasi.
Beliau berkata apabila mendapat maklumat
melalui laman sosial Facebook milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa
ada anggota polis terbunuh di Semporna, keluarganya tidak senang duduk
dan bimbang memikirkan nasib arwah sehinggalah menerima berita
kematiannya semalam.
"Arwah memang minat jadi anggota pasukan
keselamatan lebih-lebih lagi bapanya, Tukiran Ahmad, 65, seorang bekas
askar. Selepas menamatkan latihan di Pulapol (Pusat Latihan Polis),
Allahyarham ditugaskan ke Semporna pada 2006," katanya.
Azrian
berkata Mohd Azrul, yang merupakan anak keenam dari tujuh beradik,
memang rapat dengan semua adik beradik serta enam anak saudaranya.
"Bila dia balik rumah, semua akan berkumpul. Dia sepatutnya pulang Jun
ini sempena kenduri akikah anak saya. Arwah adalah adik yang nakal,
rajin serta anak yang baik. Selepas ini, kami semua pasti akan
merinduinya," katanya.
Adik Mohd Azrul, Nuur Ain, 25, berkata
bapa mereka ada berpesan ketika arwah menghubunginya Jumaat lepas supaya
menjaga diri, berhati-hati dan tidak tinggal solat.
"Abang
juga cakap jangan risau, operasi yang disertainya memang normal dan
apa-apa hal dia akan telefon semula sebab dia kena matikan telefon
bimbit.
Bagaimanapun, selepas itu dia tidak hubungi semula
kami," katanya sambil menambah arwah merancang menamatkan zaman
bujangnya dengan Amira hujung tahun ini.
Abang ipar Mohd Azrul,
Musa Abdullah, 35, pula menyifatkan arwah sebagai penyeri keluarga
dengan sikapnya yang ceria, kuat berlawak dan 'loyar buruk'.
Sementara itu, usaha menemu bual ibu Mohd Azrul gagal kerana beliau
enggan ditemui pemberita manakala Tukiran kelihatan tenang menyambut
kedatangan tetamu yang menziarahi mereka sekeluarga. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment