Lahad Datu, 5 Mac - Menteri Dalam Negeri Datuk
Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan tiada anggota keselamatan
yang terbunuh atau cedera dalam serangan ofensif terhadap pengganas Sulu
di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah awal hari ini.
"Alhamdulillah jelas tiada kecederaan langsung (di pihak anggota keselamatan).
"Tapi dalam konteks pihak musuh, itu kita kena tunggu kerana sekarang
ini masih dalam operasi," katanya pada sidang akhbar bersama Menteri
Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Lahad Datu hari ini.
Tinjauan Bernama di pekan Chenderawasih yang terletak kira-kira tujuh
kilometer dari Felda Sahabat 16 tengah hari ini mendapati beberapa
ambulans bergerak di sekitar kawasan itu.
Selepas serangan
ofensif pada pukul 7 pagi ini, sekitar kawasan itu kini tenang dan
terdapat banyak sekatan jalan raya di sepanjang jalan ke pekan dan
menuju ke Kampung Tanduo.
Bagaimanapun, bunyi deruan
helikopter masih kedengaran di ruang udara kawasan itu dan di perairan
pula kelihatan kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis
Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membuat rondaan.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata pasukan tentera menggunakan tiga jet
pejuang F18 dan lima Hawk dalam serangan ofensif terhadap perkampungan
yang menjadi kawasan pihak penceroboh.
Beliau berkata inilah
adalah kali pertama operasi bersama antara ATM dan PDRM dan pihaknya
sedang menjalankan usaha untuk menambah kekuatan anggota di kawasan itu.
"Apa yang ingin kami khabarkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa
kepercayaan yang diberi kepada ATM untuk lakukan operasi sebaik ini dan
untuk pertahankan negara telah memberi keberhasilan," katanya.
Ahmad Zahid berkata kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN)
akan memberikan bantuan kemanusiaan, antaranya keperluan bekalan makanan
kepada penduduk di Kampung Tanduo bagi memastikan mereka tidak
menghadapi kesulitan.
Beliau berkata hubungan antara Malaysia dan Filipina tidak terjejas berikutan insiden itu kerana ia hanya membabitkan sekelompok rakyat
Filipina yang tidak mendapat restu daripada kerajaan negara itu.
"Apa yang penting hubungan yang baik antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Filipina tetap dipertahankan," katanya.
Sementara itu, orang ramai boleh menghubungi Hotline di Ibu Pejabat
Polis Kontinjen Sabah melalui talian 088-318555, Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Lahad Datu (089-881255) atau IPD Semporna (089-782020)
untuk sebarang pertanyaan.- BERNAMA
No comments:
Post a Comment