KUALA LUMPUR: PAS mengecam sekeras-kerasnya perbuatan
khianat serta provokasi murahan yang cuba diamalkan oleh pihak tertentu
sejak sebelum kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bermula lagi.
Yang
DiPertua PAS Nibong Tebal, Abdul Rahman Ramjan, berkata sehingga kini
beberapa kes di seluruh negara telah dilaporkan berlaku perbuatan
khianat termasuk merosakkan markas pilihan raya PAS, merosakkan bendera,
menyerang ceramah Pakatan Rakyat dan sebagainya.
Malam tadi pula
katanya, dilaporkan berlaku letupan ketika majlis ceramah perdana
anjuran BN Nibong Tebal, yang menyebabkan seorang petugas keselamatan
cedera di kaki.
"Kita bimbang, ada pihak lain yang sengaja
membuat provokasi, kemudian cuba memburuk-burukkan Pakatan Rakyat,"
tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.
Menurut
Abdul Rahman lagi, jentera Pakatan Rakyat tidak mempunyai banyak masa
selain fokus bertemu pengundi bagi menyampaikan maklumat kepada mereka.
Apatah
lagi untuk membuat sebarang tindakan provokasi ke atas mana-mana
program anjuran parti-parti politik yang bertanding pada pilihan raya
kali ini.
Menurutnya, sepanjang kempen ini jentera Pakatan Rakyat
khususnya di Nibong Tebal menjalankan kempen secara berhemah, selain
mengelakkan sebarang tindakan provokasi yang boleh menimbulkan
ketegangan.
Tambah beliau, rakyat di negara ini juga sudah bijak
menilai pihak yang sering menimbulkan provokasi di mana-mana majlis
politik tertentu.
Dalam pada itu, Rahman memberikan jaminan
sekiranya Pakatan Rakyat memenangi PRU13 ini, Malaysia akan kekal aman
dan sejahtera dan tidak akan berlaku huru-hara seperti yang dimomokkan
pemimpin BN.
"Jaminan kami, Pakatan Rakyat, Insya-Allah Malaysia
kan terus aman jika memerintah nanti. Sedangkan kita tewas berkali-kali
pun kita masih kekal aman, apatah lagi jika kita menang nanti," kata
beliau.
Sehubungan itu, beliau turut menyeru semua jentera parti
yang bertanding, sama ada BN mahupun Pakatan Rakyat serta bebas untuk
berkempen secara berhemah dalam usaha memikat pengundi.
Pada
PRU13 ini, kerusi parlimen P047 Nibong Tebal yang dianggap kerusi panas
akan bertembung tiga penjuru membabitkan BN, PKR dan bebas.
PKR
mencalonkan Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman, manakala BN
meletakkan Zainal Abidin Osman, sementara bebas diwakili Teng Kok Pheng.
Berhubung
insiden letupan malam tadi itu, polis dilaporkan sedang menyiasat punca
sebenar kejadian dan tidak menolak kemungkinan ia perbuatan khianat.
Sumber Berita : Berita Tiger
No comments:
Post a Comment