MANIFESTO BARISAN NASIONAL TIADA ROH REFORMASI?

KENYATAAN AKHBAR
APRIL 8, 2013
MANIFESTO BARISAN NASIONAL TIADA ROH REFORMASI
Mewakili PARTI KEADILAN, saya mengalu-alukan pelancaran Manifesto
Barisan Nasional yang dibuat semalam sebelum berlangsungnya penamaan
calon. Sebagaimana umum sedia maklum, Pakatan Rakyat telah X mendahului
Barisan Nasional dengan melancarkan Manifesto bagi Pilihanraya Umum
ke-13 (PRU13) pada 25 Februari 2013 yang lalu, sekaligus merintis jalan
ke arah landskap persaingan politik yang sihat. Saya juga ingin
merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak
dan Barisan Nasional yang nampaknya banyak bersetuju dengan langkah dan
cadangan Pakatan Rakyat mutakhir ini, sehinggakan tema Manifesto
Barisan Nasional (“Membawa Harapan”) pun menyadur tema Pakatan Harapan
Rakyat yang digunakan oleh Pakatan Rakyat.
Pun begitu, saya
yakin bahawa persaingan politik khususnya semasa kempen pilihanraya
perlulah berkisar kepada persoalan dasar dan program untuk rakyat,
selain kredibiliti dan rekod calon yang ditampilkan. Seperti mana yang
ditekankan oleh Pakatan Rakyat selama ini, persaingan idea dan dasar
harus diangkat ke tahap yang lebih tinggi melalui perdebatan terbuka
yang boleh disaksikan umum di media arus perdana untuk diadili
sepenuhnya oleh segenap lapisan masyarakat.
Justeru, keengganan
Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk berdebat secara terbuka mengenai dasar
mencacatkan imej beliau sebagai pemimpin berwibawa dan merencatkan
budaya persaingan politik sihat yang dituntut oleh rakyat. Lebih-lebih
lagi apabila Barisan Nasional tidak mempedulikan langsung etika Kerajaan
Sementara (“caretaker government”) dengan menyalahgunakan ruang masa
penyiaran di platform media awam untuk membentangkan manifestonya
sedangkan Pakatan Rakyat telah dinafikan hak yang sama. Ini jelas
merupakan suatu amalan pilihanraya berat sebelah dan penyalahgunaan
harta benda awam oleh sebuah Kerajaan Sementara.
Walau
bagaimana pun, saya nekad untuk memastikan PRU13 ini menjadi medan
persaingan idea dan dasar dalam kerangka membentuk persaingan politik
sihat. Saya telah meneliti Manifesto Barisan Nasional dan akan
membentangkan pandangan KEADILAN dari semasa ke semasa. Saya juga telah
mengarahkan pasukan dasar KEADILAN untuk mengkajinya secara menyeluruh
dengan tujuan memberi maklumbalas segera pada hari Isnin, 8 April 2013.
Secara umumnya, saya tidak yakin Manifesto Barisan Nasional secara
menyeluruh dapat membebaskan negara dan rakyat dari kesempitan ekonomi,
politik dan sosial sedia ada yang begitu mencengkam dan menghimpit. Yang
paling ketara adalah Manifesto Barisan Nasional tidak mempunyai roh
reformasi yang amat diperlukan untuk merubah sistem yang bobrok dan
penuh kepincangan, seperti yang diharapkan oleh rakyat. Sangat jelas
bahawa reformasi menyeluruh dan holistik dari segi sosio-ekonomi,
struktur, institusi, politik, urus tadbir dan perundangan tiada tempat
dalam kerangka polisi Barisan Nasional. Ingin saya tegaskan bahawa tanpa
sebarang agenda reformasi yang komprehensif, usaha meningkatkan
keberdayasaingan jangka panjang Malaysia di peringkat antarabangsa
supaya setanding dengan negara-negara maju lain akan terus dikekang.
Pada masa yang sama, Manifesto Barisan Nasional ketandusan idea baharu
dan kontang perinciannya yang mana banyak program telah dipakej semula,
berbanding gagasan segar yang dibawa oleh Manifesto Pakatan Rakyat.
Lebih 90% dari program-program yang disenaraikan sudah pun diketahui
rakyat dan berbentuk terlalu umum tanpa sebarang perincian khusus.
Ketandusan idea baharu bermakna Dato’ Seri Najib Tun Razak akhirnya
terpaksa menelan hempedu dan menciplak beberapa dasar utama Pakatan
Rakyat untuk disuntik ke dalam Manifesto Barisan Nasional terutamanya
cadangan penurunan harga kereta melalui penghapusan cukai eksais secara
berperingkat dengan merombak Dasar Automotif Nasional, pemberian permit
teksi individu secara langsung kepada pemandu teksi dan penyeragaman
harga barangan keperluan di seluruh negara yang menjadi salah satu isu
utama di Sabah dan Sarawak. Berpegang teguh kepada prinsip percukaian
adil seperti yang disarankan oleh Pakatan Rakyat, maka saya yakin
harapan rakyat mahukan penghapusan langsung duti eksais kereta, bukannya
dipotong pada kadar 30% sahaja seperti yang dijanjikan di dalam
Manifesto Barisan Nasional.
Manifesto Barisan Nasional masih
mencerminkan mentaliti lapuk dan kepercayaan usang Barisan Nasional
bahawa hati dan pemikiran rakyat boleh dibeli. Tunjang kempen Barisan
Nasional jika diteliti inisiatif sedia ada dan pakej tawaran
manifestonya jelas berpaksi kepada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang
mahu ditingkatkan bayaran tahunnya kepada RM1,200 bagi keluarga dan
RM600 bagi individu bujang. Cadangan ini akan melibatkan peruntukan
sebanyak RM7.2 bilion setiap tahun yang saya yakin akan terus meningkat
saban tahun sejajar dengan pertumbuhan semulajadi populasi dan kegagalan
berterusan Barisan Nasional meningkatkan pendapatan bulanan isirumah.
melebihi paras kelayakan sebanyak RM3,000 bagi keluarga dan RM2,000 bagi
individu bujang.
"Direct transfer payments" seperti BR1M,
Baucar Buku 1Malaysia dan Bantuan Persekolahan yang terkandung dalam
manifesto Barisan Nasional jelas merupakan langkah dasar ekonomi jangka
pendek untuk meraih undi tanpa cadangan ampuh untuk menyelesaikan
permasalahan sosio-ekonomi asas rakyat untuk jangka masa panjang seperti
monopoli yang menyebabkan herotan pasaran dan kenaikan harga;
ketirisan, pembaziran dan amalan korup dalam pentadbiran kewangan
kerajaan yang mengurangkan peruntukan bagi kebajikan rakyat serta
dasar-dasar kerajaan lain yang berat sebelah, menekan rakyat dan
bersifat diskriminasi. Yang lebih mendukacitakan ialah apabila pemberian
tunai berkos tinggi ini akan terserlah sebagai suatu polisi ekonomi
yang gagal tanpa membebaskan rakyat dari belenggu kesempitan hidup
secara efektif pada jangka masa panjang sedangkan beban kepada
perbendaharaan negara akan terus meningkat saban tahun. Saya khuatir
sekiranya budaya kebergantungan berlebihan ini dibiarkan berterusan
selama beberapa dekad, maka segala usaha untuk meningkatkan
produktiviti, nilai tambah dan keberdayasaingan negara akan menjadi
sia-sia.
Tawaran langkah-langkah untuk memerangi dan seterusnya
menghapuskan gejala rasuah di dalam Manifesto Barisan Nasional jelas
merupakan suatu lelucon atau lawak jenaka sebagai bahan hiburan rakyat.
Berbekalkan kesungguhan politik yang jitu tanpa kepentingan peribadi,
hanya pentadbiran Pakatan Rakyat bagi kerajaan pusat yang baharu sahaja
yang mampu membanteras secara signifikan wabak rasuah melalui Dasar
Banteras Rasuah Negara (DEBARAN) seperti yang diperincikan dalam
manifesto PRU13nya.
Saya akan terus menghuraikan kritikan
membina mengenai perkara ini dan menyerahkan kepada rakyat untuk
mengadili keupayaan Manifesto Pakatan Rakyat dalam melaksanakan agenda
perubahan seperti yang diimpikan rakyat berbanding Manifesto Barisan
Nasional. Proses perbandingan idea dan dasar ini akan menjadi platform
utama kempen KEADILAN di dalam PRU13 dengan melibatkan keseluruhan
pimpinan, jentera pilihanraya dan semua calon.
DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Umum
No comments:
Post a Comment