SAYA sedih. Bukanlah saya berharap kerana kesedihan saya akan menarik
simpati sesiapa. Hanya saya ingin menyatakan perasaan saya- perasaan
apabila melihat kaum bangsa saya, orang Melayu, begitu sekali tidak tahu
bersyukur, begitu sekali mudah lupa, begitu sekali mudah dipengaruhi
dan diperalat oleh orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa
sendiri.
Bagi generasi yang dilahirkan selepas merdeka tentulah
mereka tidak merasai sendiri kehinaan yang dialami oleh orang Melayu
semasa mereka dijajah dahulu. Tetapi takkanlah mereka tidak baca sejarah
bangsa mereka.
Jika mereka sudah lupa, jika mereka tidak dapat
memahami pahit maung, pedih perit bangsa yang dijajah, izinkan saya yang
biasa dengan tiga penjajahan bercerita sedikit berkenaan orang Melayu
semasa dijajah.
Rata-rata mereka miskin, tidak berilmu pengetahuan,
tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak terdaya mempertahan
negeri-negeri mereka. Mereka terpaksa bertuankan orang putih Inggeris
yang mereka terima sebagai Tuan mereka di negeri mereka sendiri. Mereka
bukan tuan rumah. Mereka sebenarnya hamba rumah yang diduduki orang
lain.
Orang putih, secara terbuka menyatakan orang Melayu
adalah bodoh dan malas, tidak mampu menyumbang apa-apa kepada
pembangunan negeri-negeri mereka. Mereka hanya layak jadi pemandu kereta
dan orderly atau budak pejabat atau kerani. Mereka dianggap tidak
berkebolehan melaksanakan apa-apa kerja yang dipertanggungjawab kepada
mereka. Orang asing dari India dan Cina perlu dibawa masuk untuk
mengatasi masalah Melayu malas dan tidak cekap.
Datang Jepun.
Orang Melayu hilang jawatan perkeranian dan jawatan-jawatan rendah yang
lain. Mereka terpaksa jadi penjual pisang di tepi jalan - kais pagi
makan pagi, kais petang makan petang.
Jika tidak tunduk serendah
mungkin apabila lalu di hadapan askar Jepun, mereka dipaksa tatang
ketulan batu yang besar sehingga mereka pening dan jatuh. Mereka diarah
panjat pohon kelapa untuk dapat buah kelapa bagi askar Jepun. Jika gagal
mereka ditempeleng dan terbongkok-bongkok meminta maaf daripada askar
Jepun.
Tanpa bertanya sedikitpun akan pandangan orang Melayu sebagai
pemilik negeri-negeri Melayu, Jepun menghadiahkan empat buah negeri
Melayu, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Siam, kerana
membalas budi Siam.
Di bawah pemerintahan Siam, orang Melayu
diarah supaya menghormati lagu kebangsaan Siam dan bendera Siam. Saya
lihat sendiri seorang orang tua Melayu yang tidak turun basikalnya
semasa lagu kebangsaan Siam dimainkan, ditendang di kepala oleh askar
Siam apabila lagu berhenti dan ia jatuh terlentang di atas jalan.
Saya
dan beberapa Melayu lain tidak berani menolong orang tua yang telah
jatuh. Kami bangsa yang dijajah dan boleh ditendang oleh sesiapa yang
menjajah bangsa kami. Jangan siapa tolong.
Kemudian, British kembali
dan raja-raja Melayu diugut akan diturunkan dari takhta mereka jika
tidak tandatangan perjanjian Mac Michael supaya negeri-negeri Melayu
diserah secara langsung kepada British. Dan raja Melayu pun tandatangan
dan diturunkan pangkat kepada kadi besar negeri mereka.
Cadangan
Malayan Union British bertujuan menamatkan negeri-negeri Melayu sebagai
Tanah Melayu, milik orang Melayu. Ia akan jadi milik siapa sahaja yang
mendapat taraf rakyat Malayan Union milik British.
Dalam keadaan
orang Melayu begitu miskin, daif dan tidak berilmu pengetahuan, tidak
memiliki apa-apa kecekapan, tidak mempunyai senjata, tidak tahu
berniaga, sudah tentu mereka akan menjadi kuli dan hamba kepada orang
lain yang lebih pintar, lebih cekap dan lebih kaya daripada mereka.
Sudah tentu tidak akan ada Tanah Melayu, tanah tumpah darahnya orang
Melayu. Mereka akan jadi bangsa yang tidak bernegara, tidak bertanahair.
Tidak ada masa depan bagi mereka.
Alhamdulillah. Di saat itu mereka
tiba-tiba sedar. Berkat beberapa kerat di antara mereka yang terpelajar
yang tahu akan malapetaka yang menanti bangsa mereka, mereka ketepikan
sikap kenegerian mereka dan kesetiaan kepada raja masing-masing atau
kepada keturunan mereka. Mereka bersatu dan bangun menentang rancangan
Malayan Union British. Perpaduan Melayu yang tumpat ini, pendirian
mereka yang tidak berbelah-bahagi berkenaan penolakan Malayan Union
memaksa British gugurkan rancangan mereka dan kembalikan negeri-negeri
Melayu bersama Pulau Pinang dan Melaka yang dimiliki British kepada
orang Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu dan negeri mereka.
Malangnya sekembalinya sahaja Semenanjung Tanah Melayu ke tangan orang
Melayu, maka bermulalah rebutan untuk nikmat yang datang dengan
pemerintahan sendiri, khususnya untuk menjadi ahli dalam dewan-dewan
negeri dan dewan undangan Persekutuan. Keahlian ini menjanjikan pangkat,
elaun dan lain-lain kemudahan.
Untuk bekerja sebagai budak pejabat
memerlukan kelulusan tertentu. Tetapi untuk menjadi Yang Berhormat,
menteri, bahkan Perdana Menteri tidak memerlukan apa-apa sijil atau
kelulusan.
Yang kecewa, yang tidak dapat nikmat yang dikejar lupa
akan nikmat perpaduan dan mereka tinggalkan UMNO untuk tubuh kesatuan
mereka sendiri. Dengan ini mereka akan dapat dicalon oleh parti mereka
untuk bertanding dalam pilihan raya yang akan datang.
Kumpulan
pertama yang menubuh parti serpihan terdiri daripada ulama dalam UMNO
yang kecewa kerana permintaan mereka supaya 10 daripada mereka
dicalonkan oleh Tunku Abdul Rahman ditolak olehnya dan hanya satu sahaja
yang diberi kepada kumpulan ini.
Tetapi Tuhan Maha Kaya. Rata-rata
orang Melayu terus menyokong UMNO yang mana ini memberi kemenangan
kepada UMNO dan rakan-rakannya. Demikianlah besarnya sokongan ini
sehingga British terpaksa serah kuasa kepada Perikatan ciptaan UMNO.
Jika Parti Islam mendapat lebih daripada satu kerusi, nescaya
kemerdekaan tidak tercapai pada 1957.
Tanpa merampas hak orang lain,
pemerintahan yang bertunggak kepada Melayu berjaya membangunkan negara
dan memberi kepada bangsa Melayu dan bumiputera lain pelajaran, latihan
dan peluang yang tidak pernah dinikmati oleh mereka semasa dijajah.
Berkat semua ini maka terpulihlah maruah bangsa Melayu. Alhamdulillah.
Ramalan bahawa pemerintahan yang dipimpin Melayu ini akan merampas hak
dan harta kaum lain tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya pimpinan yang
diterajui Melayu berjaya memajukan negara sehingga dikagumi dunia.
Semua ini terang dan nyata. Dunia akui kebolehan orang Melayu yang
memimpin Malaysia. Tetapi mereka belum sampai ke tahap bersaing dengan
kaum lain terutama dalam bidang perniagaan dan perusahaan.
Malangnya
kejayaan yang sedikit ini telah menjadikan mereka bongkak dan tamak.
Rebutan kuasa antara mereka terus berlaku dan rebutan yang berpunca
kepada ketamakan individu tertentu menyebabkan perpecahan dan serpihan
daripada parti utama mereka.
Mereka yang kecewa kerana gagal merebut
tempat menghasut ahli-ahli dan pemimpin kerdil untuk menyertai mereka,
untuk menjayakan hasrat sempit mereka merebut kuasa, terutama untuk
menjadi Perdana Menteri. Untuk ini mereka membohong, menyalahtafsir
agama, menyokong orang lain yang tidak suka melihat orang Melayu meraih
walaupun sedikit kekayaan, kedudukan dan nikmat yang terdapat di negara
ini.
Hasilnya ialah perpaduan Melayu diganti dengan perpecahan.
Orang Melayu yang dahulu digeruni oleh British kerana kukuhnya perpaduan
mereka, sekarang berpecah kepada tiga kumpulan kecil yang terpaksa
mengemis untuk mendapat sokongan orang lain termasuk mereka yang
menentang segala usaha untuk mengimbangkan kedudukan orang Melayu dengan
kaum-kaum lain.
Sokongan orang lain ini tidak diberi secara
percuma. Jika mana-mana daripada parti Melayu ini memenangi pilihan raya
dan mendirikan Kerajaan, tak dapat tidak Kerajaan ini akan terpaksa
mengikuti telunjuk orang lain. Melayu tidak lagi akan menjadi tunggak
kepada pemerintahan negara yang mereka rela berkongsi dengan orang lain.
Mereka akan jadi puak minoriti dalam pakatan yang mereka sertai. Inilah
yang akan terjadi hasil perpecahan orang Melayu.
Siapakah yang
membawa malapetaka ini. Tak lain tak bukan malapetaka ini dibawa oleh
orang Melayu sendiri - orang Melayu yang tamak, orang Melayu yang kurang
pintar, orang Melayu yang mudah dipengaruhi nafsu, yang mudah dikuasai
oleh perasaan benci apabila dihasut.
Orang Melayu sudah lupa akan
betapa hinanya mereka semasa dijajah dahulu. Mereka tidak pun mengakui
akan nikmat yang banyak yang dinikmati oleh mereka setelah merdeka dan
mereka menerajui Kerajaan - Kerajaan Malaysia merdeka.
Oleh
kerana lupa dan tidak bersyukur, mereka rela supaya perpaduan yang
memberi kekuatan kepada mereka dimusnahkan. Mereka sanggup dipecah dan
dipisah daripada kuasa yang sedikit yang ada pada mereka.
Sebab
inilah yang saya sedih. Bangsa saya jelas tidak dapat menangani
kejayaan. Bangsa saya mudah lupa. Bangsa saya tidak tahu bersyukur.
Bangsa saya tidak tahu mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa
kaum sebangsa yang hari ini tinggal di wilayah yang dikuasai orang lain.
Jangan bersedih dan bersimpati dengan saya. Bersimpatilah dan
bersedihlah dengan diri sendiri, dengan anak cucu yang akan alami masa
depan yang gelap kerana kita tamak dan begitu benci kepada bangsa dan
pemerintahan oleh kita sendiri.
Sumber info: klik SINI
No comments:
Post a Comment