LAHAD DATU, 8 Mac - Rutin harian masyarakat di sekitar Felda Sahabat kembali rancak hari ini susulan pengumuman penubuhan Kawasan
Keselamatan Khas Sabah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
semalam.
Tinjauan Bernama pagi ini mendapati restoran dan kedai makan dibuka sejak awal pagi dan kelihatan ramai
penduduk mula keluar ke kawasan pekan di Felda Sahabat ini untuk
menjalankan urusan harian mereka dalam keadaan tenang dan terkawal.
Dalam pada itu, bunyi enjin pesawat tempur Tentera Udara Diraja
Malaysia kedengaran seawal pukul 7 pagi tadi, namun tiada bunyi letupan
atau pertempuran didengari.
Penubuhan Kawasan Keselamatan Khas
Sabah merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu
berkenaan bertujuan menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai
timur negeri itu.
Op Daulat yang masuk hari keempat hari ini
menyaksikan 1,959 penduduk dari tujuh buah kampung telah berpindah ke
pusat-pusat penempatan sementara iaitu 1,309 ditempatkan di Dewan Fajar
Harapan dan 650 di Dewan Embara Budi.
Setakat ini 52 militan
disahkan terbunuh sejak insiden pencerobohan kumpulan bersenjata di
Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari bandar Lahad Datu, 12 Feb
lalu.
Insiden itu turut mengorbankan lapan anggota polis iaitu
dua dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam lagi dalam
serangan hendap di Semporna pada 2 Mac. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment