Saya bukan pro-kerajaan atau pro-pembangkang. Maklumat yang ada di blog ini ada macam-macam. Ada maklumat sahih, ada yang tidak sahih dan ada yang direka. Anda perlu melihat, semak dan menilainya sendiri. Saya merujuk semua maklumat untuk diri sendiri dan tidak bertanggungjawab ke atas maklumat di blog ini yang mungkin digunakan atau di salahgunakan untuk lain-lain tujuan.
Thursday 14 March 2013
ANGGOTA PASUKAN KESELAMATAN PERTAHAN NEGARA MATI SYAHID
Kuala Nerang, 14 Mac - Imam Besar Masjid Aba'ah, Makkah, Syeikh Mohammad Sharif Mohammad Imrani al-Hafiz berkata anggota pasukan keselamatan Malaysia yang berjuang mempertahankan kedaulatan negara mati syahid.
Katanya umat Islam wajib mempertahankan negaranya daripada pencerobohan asing dan mati dalam peperangan kerana ia adalah syahid fisabilillah dan Allah SWT akan memberi syafaat kepada mereka.
Beliau yang ditanya mengenai pencerobohan pengganas militan di Lahad Datu, Sabah berkata: "Saya tidak tahu siapa yang melakukannya (pencerobohan) namun kematian 10 anggota pasukan keselamatan Malaysia mempertahankan negara adalah syahid."
Syeikh Muhammad Sharif dibawa khas dari Makkah ditemui selepas memberi tazkirah yang disampaikan dalam bahasa Melayu, Inggeris serta Arab pada program 'Malam Munajat Rakyat: Gema Zikir dan Selawat' dan dihadiri hampir 5,000 umat Islam di Masjid Muadzam Shah di sini, malam tadi.
Beliau sebelum itu mengimamkan solat Maghrib dan solat hajat memohon Allah SWT menyelamatkan Malaysia dan rakyatnya daripada bencana, diikuti solat Isyak.
Program itu dianjurkan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Nerang Datuk Syed Sobri Syed Hashim.
Sheikh Muhammad Sharif berkata pergaduhan atau peperangan sesama umat Islam di akhir zaman adalah tindakan manusia yang memiliki sifat syaitan dan hendaklah dihindari oleh pengikut sebenar Nabi Muhammad SAW.
Beliau menasihatkan umat Islam Malaysia supaya memohon perlindungan Allah SWT dan mengadakan solat hajat agar umat Islam di negara ini terhindar daripada fitnah yang banyak berlaku di akhir zaman.
"Bergaduh sesama umat adalah perbuatan yang ditegah oleh Islam. Umat Muhammad SAW adalah adik-beradik dan kita patut bersatu. Ini nasihat saya," katanya.- BERNAMA
No comments:
Post a Comment