Saya bukan pro-kerajaan atau pro-pembangkang. Maklumat yang ada di blog ini ada macam-macam. Ada maklumat sahih, ada yang tidak sahih dan ada yang direka. Anda perlu melihat, semak dan menilainya sendiri. Saya merujuk semua maklumat untuk diri sendiri dan tidak bertanggungjawab ke atas maklumat di blog ini yang mungkin digunakan atau di salahgunakan untuk lain-lain tujuan.
Sunday 17 March 2013
KLANG: NAJIB LAWAT KELUARGA ALLAHYARHAM KOPERAL MOHD AZRUL
Klang, 17 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menziarah keluarga Koperal Mohd Azrul Tukiran, yang terkorban dalam insiden tembak-menembak di Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah pada 2 Mac lepas, di Kampung Rantau Panjang di sini.
Najib, ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, turut menyampaikan bantuan berjumlah RM20,000 sumbangan Yayasan Kelana Ehsan kepada keluarga Allahyarham.
Sementara itu, bapa Mohd Azrul, Tukiran Ahamad berkata Perdana Menteri menasihatkan mereka sekeluarga supaya bersabar kerana perkara yang berlaku tidak diduga dan memberi jaminan akan memberikan segala bantuan yang dijanjikan.
Tukiran, yang melahirkan rasa terharu dan terima kasihnya atas kesudian Perdana Menteri berkunjung ke rumah mereka, turut berkata Najib juga bertanya berkaitan arwah dalam kunjungan singkat itu.
Sementara itu, ibu Mohd Azrul, Sa'diah Md Amin berkata mereka sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan tidak akan menghalang jika ada anak dan cucunya yang berhasrat menyertai pasukan keselamatan.
Ini adalah kali kedua ibu bapa Mohd Azrul bertemu Perdana Menteri, pertama kali semasa menyambut ketibaan jenazah Allahyarham di Pangakalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 4 Mac lepas.
Mohd Azrul dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau adalah antara enam pegawai dan anggota polis yang terkorban dalam serangan hendap sekumpulan pengganas bersenjata di perkampungan air itu pada 8 malam 2 Mac lepas.
Sementara itu, penduduk kampung menamakan jalan masuk ke rumah keluarga Allahyarham sebagai 'Jalan Wira Negara Koperal Azrul'. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment