Lahad Datu, 17 Mac - Operasi Daulat yang
diteruskan hari ini dengan usaha memburu dan 'membersih' Kampung Tanjung
Batu, Lahad Datu, Sabah, menyaksikan seorang lagi militan Sulu
ditumpaskan.
Musuh ditembak mati dalam pertempuran kira-kira
10.15 pagi apabila pasukan keselamatan bertembung dengan sekumpulan
penceroboh bersenjata, menjadikan bilangan keseluruhan pengganas yang terbunuh setakat ini kepada 62 orang.
Panglima Medan Tentera Darat Lt Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata
pasukan keselamatan kini giat menjejaki tiga lagi musuh yang melarikan
diri dalam kejadian itu. "Operasi memburu saki-baki penceroboh akan
diteruskan sehingga Kampung Tanjung Batu selamat dan bersih dari musuh,"
katanya pada sidang media bersama Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza
Taib di Felda Sahabat, Lahad Datu.
Mayat musuh yang dibunuh
dikeluarkan dari Kampung Tanjung Batu petang ini dan diserahkan kepada
pihak forensik. Dalam pada itu, Hamza berkata 80 peratus daripada
keseluruhan 28 mayat pengganas yang telah dibawa keluar daripada kawasan
Operasi Daulat selesai dibedah siasat.
Bagaimanapun belum ada
indikasi daripada Manila untuk menuntut mayat-mayat tersebut walaupun
tempoh tiga hari yang diberikan oleh Malaysia tamat hari ini. Malaysia
sebelum ini memberi tempoh tiga hari untuk Filipina menuntut mayat
rakyatnya yang ditembak dalam Operasi Daulat setelah mereka menceroboh
negara sejak 12 Feb lepas.
Beliau turut memaklumkan anggota
keluarga Jamalul Kiram dipercayai antara 104 orang yang ditahan di bawah
Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Bagaimanapun, katanya operasi membanteras tidak hanya tertumpu kepada
keluarga Jamalul Kiram, yang didakwa dalang insiden pencerobohan di
Sabah, kerana kaum keluarga anggota militan lain tidak terlepas daripada
buruan polis.
Sementara itu pengorbanan anggota pasukan
keselamatan di Lahad Datu dihargai mantan Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad yang membuat kunjungan singkat ke daerah itu hari ini
bagi memberi sokongan moral. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment