Tawau, 4 Mac - Allahyarham Kpl Salam Togiran yang terkorban dalam kejadian serang hendap kumpulan bersenjata di Kampung Sri Jaya
Simunul, Semporna Sabtu lepas, sentiasa melahirkan keinginan untuk mati
syahid seperti syahidnya pejuang Palestin menentang rejim zionis.
Balu Allahyarham, Marlinah Utan, 38, berkata sejak tiga bulan lepas, Salam, 42, menzahirkan keinginnya itu setiap kali melihat keberanian rakyat Palestin menentang rejim zionis yang disiarkan di televisyen.
"Kalau ada siaran mengenai Palestin dia selalu cakap bagusnya kalau
saya yang pergi ke sana, saya mahu mati syahid. Itulah yang selalu
menjadi punca saya memarahi dia. Selalu dia cakap dia mahu mati syahid,"
katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Bandar Seri Indah dekat
sini, hari ini.
Marlinah berkata sebelum menyertai operasi,
suaminya berpesan agar beliau menjaga empat anak mereka dan menelefonnya
kira-kira pukul 3 petang Sabtu (sebelum kejadian) meminta beliau
mendoakan keselamatannya.
"Saya tanya dia kenapa. Dia kata
'Saya mahu ikut operasi. Doakan saya selamat'. Saya kata amin,
mudah-mudahan selamat," katanya yang tidak dapat menahan sebak.
Jenazah Salam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 15,
Jalan Apas pada 10.15 pagi ini selepas disembahyangkan di Surau Ibu
Pejabat Polis Daerah Tawau.
Marlina yang mendirikan rumah
tanggga dengan Allahyarham sejak 13 tahun lalu menyifatkan arwah sebagai
suami dan ayah yang sempurna.
"Saya bangga dia gugur sebagai
pejuang. Dia berjuang untuk kedaulatan negara. Dia sanggup
mempertaruhkan nayawanya. Sebagai isteri, saya bangga," katanya.-
BERNAMA
No comments:
Post a Comment