Sandakan, 7 Mac - Lebih 100 masyarakat Suluk
di Sandakan mengadakan perhimpunan aman bagi membantah pencerobohan
sekumpulan pengganas dari Selatan Filipina yang berkubu di Kampung
Tanduo, Lahad Datu, sejak bulan lepas.
Perhimpunan selama sejam di hadapan Dataran Majlis Perbandaran Sandakan itu diketuai anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sekong Datuk Samsudin Yahya dan disertai pemimpin Suluk serta anggota Persatuan Suluk Bersatu Sabah.
Samsudin berkata seluruh masyarakat Suluk bersatu hati menyokong penuh
sebarang tindakan terhadap kumpulan pengganas itu termasuk serangan
ofensif yang dilancarkan pasukan keselamatan pada Selasa lepas.
"Kami orang Suluk di sini sukakan keamanan dan amat mengecam tindakan
pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu yang telah mengorbankan
pasukan keselamatan negara. Perbuatan itu biadap di negeri dan negara
yang berdaulat ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Suluk Bersatu Sabah cawangan
Sandakan Jamal Ali berkata persatuan yang mempunyai lebih 300 anggota
berdaftar itu memberi kepercayaan penuh dan kesetiaan kepada kerajaan di
bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua
Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
"Kami menafikan
khabar-khabar angin masyarakat Suluk akan membantu kumpulan pengganas
itu..kami tiada kaitan dengan pencerobohan itu. Kami orang Sabah dan
marah pada mereka yang menceroboh itu," katanya yang turut menyokong
serangan ofensif selepas rundingan secara aman tidak diendahkan kumpulan
pengganas itu.
Ketua Kampung Bahagia Sharip Hassim, 56,
berkata meskipun mempunyai pertalian darah dengan masyarakat di negara
jiran itu, pihaknya tidak mencampuri tindakan itu, malahan sentiasa
meningkatkan kawalan keselamatan di kampong bersama polis.
"Kami
sokong tindakan serangan kepada kumpulan penceroboh itu kerana kami
tidak mahu perkara itu terus melarat dan mengambil masa yang lama. Kami
hidup aman damai biarpun mempunyai kira-kira 5,000 penduduk sejak
kampung ini dibuka pada 1984," katanya.
Samsudin turut
menyerahkan sumbangan peribadi berjumlah RM5,000 kepada Tabung Wira
Lahad Datu manakala RM5,000 pula sumbangan daripada persatuan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marong ketika
dihubungi berkata bandar Sandakan berada dalam keadaan terkawal dan
tenang. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment