KUALA LUMPUR, 7 Mac - Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa Kuala Lumpur tidak akan menimbang
sebarang permintaan gencatan senjata selagi kumpulan penceroboh militan
tidak meletak senjata tanpa syarat.
Najib, yang melawat Sabah selepas tiga hari pasukan keselamatan melancarkan serangan terhadap
kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, berkata presiden Filipina
Benigno Aquino III telah menghubungi beliau untuk mendapatkan reaksi
Malaysia berhubung kenyataan Jamalul Kiram III mengenai gencatan
senjata.
"Saya bagi tahu Presiden Aquino bahawa mereka
perlu letak senjata tanpa syarat dan senjata itu perlu diserah kepada
kita," katanya pada sidang akhbar di Felda Sahabat 16, di Lahad Datu
hari ini.
Laporan media dari Filipina hari ini memetik
Kiram meminta pihaknya meletak senjata di Lahad Datu selepas beberapa
anggota kumpulannya terbunuh dalam gerakan ofensif pasukan keselamatan
Malaysia pada Selasa.
Terdahulu Setiausaha Agung
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon menyeru agar ''keganasan''
di Sabah, dihentikan dan mencadangkan agar pihak terlibat mencari
penyelesaian secara aman terhadap apa yang berlaku.
Najib berkata kerajaan akan melakukan apa sahaja untuk menjamin keselamatan, keamanan dan kedaulatan Sabah.
Pada Selasa, pasukan keselamatan melancarkan serangan udara menggunakan
jet pejuang F18 dan Hawk sebagai gerakan pertama ke arah menamatkan
pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Feb dan pasukan keselamatan kini
meneruskan operasi dengan tindakan susulan dan penggeledahan.
Perdana menteri berkata operasi bagi memburu kumpulan penceroboh militan itu akan diteruskan sehingga mereka meletak senjata.
Beliau berkata Malaysia menghormati prinsip kemanusiaan dan memberi
cukup masa untuk berunding dengan kumpulan penceroboh militan sebelum
melancarkan gerakan ofensif.
"Kita beri tempoh lebih
tiga minggu (untuk rundingan) dan tangguh (serangan) empat kali, kita
hanya bertindak bila mereka bunuh lapan anggota polis kita," katanya.
Najib yang melahirkan rasa puas hati dengan keberhasilan operasi
bersama yang dilancarkan oleh polis dan tentera itu, berkata pasukan
keselamatan negara mencapai banyak kejayaan untuk menumpaskan kumpulan
penceroboh militan yang memasuki negara ini 12 Feb.
"Kerjasama yang sangat erat antara polis dan tentera dengan menggunakan
kepakaran dan kekuatan masing-masing dalam satu operasi bersepadu adalah
satu modul yang sangat baik untuk kita ambil langkah-langkah banteras
dan tindakan tegas terhadap kumpulan itu," katanya.
Perdana menteri juga melahirkan penghargaan kerajaan terhadap kerjasama polis dan tentera dalam menjayakan operasi itu.
Najib turut menegaskan jangan sesiapa cuba memandang ringan iltizam
kerajaan menegakkan prinsip bahawa Sabah adalah sebahagian dari Malaysia
buat selama-lamanya.
"Ini tidak boleh dipersoal
sesiapa baik dari dalam atau luar negara. Kita akan pertahan prinsip,
hakikat dan kebenaran secara mutlat dengan sepenuh kekuatan yang kita
ada," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment