KUALA LUMPUR, 7 Mac - Malaysia mewujudkan
benteng pertahanan di sepanjang perairan pantai timur Sabah bermula dari
Kudat di bahagian Utara hingga ke Tawau di bahagian Tenggara bagi
menyekat sebarang elemen pencerobohan terutama dari wilayah kepulauan di selatan Filipina.
Perisytiharan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas
Sabah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dibuat
berikutan kejadian pencerobohan kumpulan militan dari Sulu di Lahad Datu
12 Feb lepas dan sehingga kini insiden itu masih berlanjutan.
"Kerajaan akan melakukan apa sahaja untuk menjamin keselamatan,
keamanan dan kedaulatan Sabah...soal Sabah dalam Malaysia tidak harus
dipertikai oleh sesiapa," kata Najib selepas melawat kawasan ''ground
zero'' di Felda Sahabat 16, Lahad Datu Sabah.
Kawasan
Keselamatan Khas Sabah itu merangkumi Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan
Lahad Datu, dan kerajaan akan menempatkan lima batalion tambahan terdiri
daripada pasukan tentera dan polis di kawasan itu.
Pada 1972, kerajaan pernah menubuhkan Rajang Area Security Command
(RASCOM), iaitu pasukan kawalan keselamatan di kawasan Rajang di Sarawak
yang berjaya menghapus ancaman komunis di negeri itu.
Kawalan RASCOM meliputi kawasan Sibu, Kanowit, Oya, Dalat, Bintagor,
Sarikei, Julau, Song dan Kapit yang diisytiharkan sebagai Kawasan
Keselamatan Istimewa oleh Datuk Abdul Razak Hussein selaku perdana
menteri ketika itu.
Pada Selasa pasukan keselamatan
melancarkan serangan udara menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk sebagai
gerakan pertama ke arah menamatkan pencerobohan pengganas Sulu sejak 12
Feb dan pasukan keselamatan kini meneruskan operasi dengan tindakan
susulan dan penggeledahan.
Selepas tiga hari gerakan
ofensif dilancar, pasukan keselamatan negara masih mendapat tentangan
daripada kumpulan pengganas militan itu dan hari ini berlaku dua
kejadian berbalas tembak iaitu di Kampung Tanduo yang merupakan kawasan
kumpulan itu bertapak dan di Tanjung Batu.
Seramai 32
musuh terbunuh dalam pertempuran hari ini iaitu 31 dalam kejadian pada
11 pagi di Tanjung Batu dan seorang dalam kejadian 6.45 pagi di Kampung
Tanduo.
Tiada anggota keselamatan yang cedera dalam kedua-dua kejadian itu, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
Sejak isu pencerobohan sekumpulan lelaki berpakaian ala tentera dan
bersenjata di Lahad Datu 12 Feb lepas, lapan anggota polis terkorban
manakala 52 pengganas militan terbunuh.
Menegaskan
pendirian Malaysia, perdana menteri berkata operasi bagi memburu
kumpulan penceroboh militan itu akan diteruskan dan Kuala Lumpur tidak
akan menimbang sebarang permintaan gencatan senjata selagi kumpulan
penceroboh militan tidak meletak senjata tanpa syarat.
Beliau berkata Malaysia menghormati prinsip kemanusiaan dan memberi
cukup masa untuk berunding dengan kumpulan penceroboh militan sebelum
melancarkan gerakan ofensif.
"Kita beri tempoh lebih
tiga minggu (untuk rundingan) dan tangguh (serangan) empat kali, kita
hanya bertindak bila mereka bunuh lapan anggota polis kita," kata Najib
yang melahirkan rasa puas hati dengan keberhasilan operasi bersama
pasukan polis dan tentera itu.
Laporan media dari
Filipina hari ini memetik Jamalul Kiram III meminta pihaknya meletak
senjata di Lahad Datu selepas beberapa anggota kumpulannya terbunuh
dalam gerakan ofensif pasukan keselamatan Malaysia pada Selasa.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon pula
menyeru agar ''keganasan'' di Sabah, dihentikan dan mencadangkan agar
pihak terlibat mencari penyelesaian secara aman terhadap apa yang
berlaku. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment