SEMPORNA, 7 Mac -- Pasukan keselamatan hari ini menjalankan operasi khas ''Ops Tayang'' untuk memberi penerangan kepada masyarakat
mengenai tahap kawalan keselamatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa
di sekitar daerah Semporna.
Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata melalui ''Ops Tayang'', taklimat ringkas akan diberikan kepada penduduk di kawasan pekan dan beberapa kampung di daerah Semporna.
"Operasi ini kita tumpukan di kawasan kampung, pekan dan perairan di
daerah ini, ia bertujuan memberikan kefahaman kepada penduduk bahawa
kawasan di Semporna adalah selamat dan terkawal," katanya.
Operasi itu disertai oleh polis dari Ibu Pejabat Daerah Semporna,
Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,
Pasukan Gerakan Am Batalion 14 dan pasukan VAT 69 Bukit Aman, katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak panik dengan insiden
pencerobohan kumpulan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu sejak 9
Feb lalu dan sentiasa mendapatkan maklumat dari pihak polis bagi
mengelakkan penyebaran khabar angin.
Mohd
Firdaus turut menafikan pihaknya mengeluarkan perintah berkurung kepada
penduduk tempatan, sebaliknya memberitahu penduduk boleh menjalankan
urusan harian seperti biasa.
Tinjauan Bernama di
beberapa lokasi Ops Tayang selama sejam setengah mulai 2.30 petang itu
memfokuskan beberapa kawasan utama seperti di Kampung Simunul, Kampung
Bubul Lama, Kampung Bugaya dan Pekan Semporna.
Rata-rata penduduk melahirkan keyakinan terhadap pasukan keselamatan
negara dalam mempertahankan daerah Semporna dari ancaman pengganas Sulu.
Bagi, Jasim Abd Latiff, 21, beliau melaungkan keyakinan terhadap Ops Tayang terutamanya dalam memberikan maklumat yang tepat.
"Kalau saya nampak pengganas di kawasan ini saya akan terus melaporkan
kepada pihak keselamatan. Saya yakin dengan tahap keselamatan di sini,
tiada apa yang perlu dibimbangkan," katanya kepada Bernama.
Bagi Ulimah Hassan, 42, berkata taklimat ringkas berhubung tahap
keselamatan di kawasan Kampung Bubul Lama, oleh pasukan keselamatan
kepada penduduk telah menyakinkannya bahawa daerah Semporna kini dalam
keadaan selamat.
Beliau berkata sejak kejadian berbalas tembakan Sabtu lepas yang
mengorbankan enam anggota polis, tahap keselamatan di daerah Semporna
berada dalam keadaan berjaga-jaga dan segala aktiviti harian sukar
dijalankan.
"Selepas peristiwa itu ada di kalangan
penduduk takut hendak keluar rumah dan menjalankan urusan harian, jadi
selepas mendengar taklimat Ops Tayang ini, kami amat yakin dengan
pasukan keselamatan," katanya.
Sabtu lepas, enam
anggota polis terkorban dalam insiden berbalas tembakan dengan kumpulan
pengganas Sulu di Kampung Simunul, yang turut mengorbankan enam anggota
mereka. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment