Saya bukan pro-kerajaan atau pro-pembangkang. Maklumat yang ada di blog ini ada macam-macam. Ada maklumat sahih, ada yang tidak sahih dan ada yang direka. Anda perlu melihat, semak dan menilainya sendiri. Saya merujuk semua maklumat untuk diri sendiri dan tidak bertanggungjawab ke atas maklumat di blog ini yang mungkin digunakan atau di salahgunakan untuk lain-lain tujuan.
Sunday 17 March 2013
MAYAT PENGGANAS 80 PERATUS SELESAI DIBEDAH SIASAT
Lahad Datu, 17 Mac - Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan Operasi Daulat telah selesai dibedah siasat.
"Sejumlah 80 peratus mayat telah selesai dibedah siasat, bakinya masih dalam proses," katanya dalam sidang media bersama Panglima Satu Divisyen Infantri Tentera Darat, Mejar Jen. Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di Felda Sahabat 16, dekat sini, kira-kira 5.30 petang ini.
Hamza berkata mayat seorang pengganas yang ditembak mati pagi ini dalam pertempuran di Kampung Tanjung Batu, telah dikeluarkan.
Malaysia sebelum ini memberi tempoh tiga hari untuk Filipina menuntut mayat rakyatnya yang ditembak dalam Operasi Daulat setelah mereka menceroboh negara 12 Februari lepas. Bagaimanapun sehingga tempoh itu berakhir hari ini, belum ada sebarang indikasi dari Manila berhubung tuntutan mayat-mayat tersebut.
Dalam pada itu Hamza tidak menolak kemungkinan ada pengganas yang melarikan diri ke Pulau Tambisan, kira-kira 100 kilometer dari Felda Sahabat kerana musuh memahami muka bumi kawasan pantai timur Sabah.
Bagaimanapun, katanya pasukan keselamatan telah mengetatkan kawalan di pelbagai kawasan strategik untuk mengesan sebarang pergerakan musuh.
Beliau optimis operasi penggeledahan dan pembersihan di Kampung Tanjung Batu akan selesai esok dan pasukan keselamatan kemudian akan menumpukan operasi di kawasan Tanjung Labian dan Sungai Bilis.
Ahmad Zaki pula mengulangi peringatan kepada orang ramai agar tidak memasuki kawasan Operasi Daulat bagi membolehkan pasukan keselamatan melaksanakan tugas dengan berkesan.
Sehingga kini seramai 62 pengganas dibunuh, 104 ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan 241, termasuk sembilan ditahan semalam dan hari ini, kerana berada di zon merah Operasi Daulat dan pelbagai kesalahan lain. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment