Serian, 4 Mac - Sanggup berhenti kursus inspektor kesihatan yang telah diikutinya selama empat bulan apabila permohonan untuk menjadi polis diterima.
Minat ASP Michael Padel untuk berkhidmat dalam pasukan keselamatan
negara merupakan impiannya sejak kecil dan akhirnya beliau gugur sebagai
wira negara.
"Dia anak yang
'nakal' (lasak), suka kepada pekerjaan yang mencabar dan berminat
menyertai pasukan keselamatan beruniform hingga sanggup berhenti dari
kursus inspektor kesihatan yang telah berjalan selama empat bulan
apabila permohonan untuk memasuki polis diterima.
"Saya
percaya mendiang mewarisi darah 'pahlawan' dari ayahnya, mendiang Padel
Sano yang juga seorang tentera (meninggal pada tahun 1983)," kata ibu
mendiang, Elizabeth Inat Rau.
Dengan penuh kesedihan, wanita
berumur 62 tahun itu berkata pemergian mendiang yang merupakan anak
bongsu dan lelaki tunggal dalam keluarga amat dirasai dan seluruh
keluarga amat bersedih.
"Saya terima berita sedih ini 7 malam
semalam (Ahad) dan masih terkejut," katanya kepada Bernama ketika
ditemui di rumahnya di Kampung Bidayuh Tebakang dekat sini, hari ini.
Suasana sedih dan pilu menyelubungi seluruh anggota keluarga,
saudara-mara serta penduduk kampung apabila berita kematian Michael yang
terkorban dalam serangan hendap oleh kumpulan penceroboh bersenjata di
Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah diterima.
Sejak
semalam rumah keluarga mendiang yang biasanya kosong dan hanya meriah
pada perayaan Hari Gawai dan Hari Krismas, dipenuhi sanak-saudara dan
penduduk yang bergotong-royong menyediakan persiapan ketibaan mayat
mendiang yang dijangka tiba hari ini dan akan disemadikan pada Rabu.
Mendiang Michael yang telah berkhidmat sebagai polis lebih 10 tahun dan
mula bertugas di Semporna setahun lepas, meninggalkan seorang isteri,
Jabah Mingku, 35, yang berasal dari Simunjan, Sarawak dan seorang anak
lelaki Macluie Michael berusia 11 tahun.
Turut terkorban dalam
serangan hendap itu ialah Supt Ibrahim Lebar dari Bukit Aman, Sarjan
Detektif Baharin Hamid dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Sarjan
Aziz Sarikun dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, Kpl Salam Togiran (IPD
Tawau) dan L/Kpl Mohd Azrol Tukiran (PGA Tawau).
Kakak Sulung
mendiang, Vivian, 42, berkata walaupun faham dengan tugas adiknya
sebagai polis yang sentiasa berhadapan dengan situasi genting, namun
melahirkan rasa sedih dan terkilan mendiang terkorban dalam insiden yang
disifatkan sebagai 'di luar kuasa pihak polis'.
Bapa saudara
mendiang Bincent Najuh Rimo, 68, berkata Michael telah menunjukkan minat
untuk bertugas dalam pasukan beruniform sejak kecil.
"Mendiang memang berminat nak bekerja dalam pasukan beruniform sejak
kecil. Saya seorang tentera, saya masih ingat masa kecil mendiang
Michael pernah cakap nak pakai 'baju hijau' macam saya juga," katanya.
Bagi dua rakan sekampung mendiang, Moses Bijai, 35, dan Ah Cho, 43,
berkata pemergian mendiang bukan sahaja kehilangan besar kepada keluarga
malahan kepada seluruh penduduk kampung.
"Mendiang Michael
ini sangat baik dan rapat dengan penduduk kampung. Kalau dia balik sini,
dia mesti anjurkan aktiviti-aktiviti yang libatkan penduduk kampung.
Penduduk kampung dan rakan-rakan umpamakan mendiang macam 'ketua', bila
dia balik mesti ada saja aktiviti mendiang buat.
"Orang
kampung memang pandang tinggi dengan mendiang dan sokong apa saja
aktiviti yang dia buat. Contohnya masa dia balik sambutan Hari Gawai
tahun lepas, dia adakan majlis BBQ, berkaraoke, live band, dan aktiviti
sukan berakit, mendiang ajak semua penduduk kampung tak kira bangsa dan
agama untuk turut
serta," kata mereka. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment