Saya bukan pro-kerajaan atau pro-pembangkang. Maklumat yang ada di blog ini ada macam-macam. Ada maklumat sahih, ada yang tidak sahih dan ada yang direka. Anda perlu melihat, semak dan menilainya sendiri. Saya merujuk semua maklumat untuk diri sendiri dan tidak bertanggungjawab ke atas maklumat di blog ini yang mungkin digunakan atau di salahgunakan untuk lain-lain tujuan.
Sunday 17 March 2013
MUAR: MCPF SERU RAKYAT BANTU POLIS BANTERAS JENAYAH
MUAR, 16 Mac - Rakyat diminta memberikan sokongan dan keyakinan kepada pihak polis untuk menjalankan tugas selain turut sama membantu membenteras jenayah dengan menyertai aktiviti kesukarelawan.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata pada masa kini polis tampil dengan pelbagai program terbaharu yang menunjukkan mereka serius dalam menangani masalah jenayah di negara ini.
"Kebimbangan terhadap masalah jenayah harus diterjemahkan kepada langkah proaktif dengan membantu pihak berkuasa. Sekadar menyuarakan kebimbangan ia tidak mencukupi.
"Masyarakat perlu berganding bahu dan turut sama membantu polis dan menyertai program anjuran MCPF," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Bersatu Banteras Jenayah peringkat Muar yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi MCPF.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) PDRM, Datuk Ayub Yaakob dan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.
Sementara itu, Ayub berkata, masyarakat kini semakin berpuas hati dengan mutu perkhidmatan polis dengan kontijen Johor menduduki tangga kelima teratas.
"Kajian dijalankan oleh perunding bebas DNS Consultants yang dilantik kerajaan menunjukkan kepuasan hati masyarakat terhadap perkhidmatan polis semakin meningkat," katanya
Menurutnya kontijen Johor melepasi tahap 80 peratus dan mendahului Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sekali gus menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa negeri itu mempunyai banyak masalah keselamatan. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment