ALOR SETAR, 7 Mac - Polis Kedah hari ini melancarkan Tabung Kebajikan PDRM Lahad Datu bagi membantu keluarga anggota polis yang
terkorban dan cedera dalam pertempuran dengan penceroboh di Sabah.
Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata tabung itu akan diletak
di semua ibu pejabat polis daerah (IPD) di Kedah sebelum dikumpul dan
diserah kepada Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman.
"Kita lancar tabung ini di peringkat IPD bagi memudahkan orang ramai
untuk menyumbang. Kita mahu orang ramai yang prihatin membantu anggota
keluarga mangsa," katanya pada Majlis Penyematan Pangkat dan Penyampaian
Sijil Tamat Latihan Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM)
Negeri Kedah siri 1/2012 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di
sini.
Sementara itu, beliau berkata 34 anggota SSPDRM
daerah-daerah menerima kenaikan pangkat hari ini selepas berjaya
mempamerkan kualiti kerja yang baik dalam membanteras kes jenayah
sepanjang tahun lepas.
Ahmad berkata kenaikan pangkat
peringkat koperal hingga ASP itu sebagai satu usaha menyuntik semangat
mereka untuk bekerja lebih gigih dalam membanteras jenayah.
Katanya pada majlis itu 109 pelatih SSPDRM menerima Sijil Tamat Latihan
Siri 1/2012 kerana berjaya menamatkan latihan kepolisan yang diikuti
selama enam bulan di IPD masing-masing.
"Masalah
kekurangan anggota polis dapat diatasi dengan segera kerana pelatih
(SSPDRM) yang telah tamat latihan akan dihantar ke seluruh daerah bagi
membantu menangani jenayah.
"Mereka ini ada kerja
tetap. Kita akan panggil mereka pada waktu yang malam dan hari cuti dan
tenaga mereka dengan sebaik mungkin untuk membantu pihak polis
membanteras jenayah di negeri ini," katanya.
Ahmad berkata pihaknya akan memberi kursus kepada SSPDRM dari semasa ke semasa mengikut keperluan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment