Kuching, 6 Mac - Timbalan Ketua Polis Negara,
Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini menafikan khabar angin yang memberi
gambaran bahawa pergerakan di pesisiran pantai timur Sabah mempunyai
kaitan dengan penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina.
Beliau berkata sebaliknya, pemeriksaan polis mendapati ia adalah pergerakan biasa masyarakat tempatan di kawasan terbabit, termasuk di Lahad Datu dan Semporna.
"Saya menyeru orang ramai jangan terus mempercayai khabar angin yang
boleh menggemparkan masyarakat. Polis mengambil berat sebarang kejadian
atau maklumat yang diterima untuk disiasat. Jangan risau," katanya
kepada pemberita selepas istiadat pengebumian negeri mendiang DSP
Michael Padel di Tanah Perkuburan Pahlawan di sini.
Beliau
berkata polis bersama Angkatan Tentera Malaysia meningkatkan kehadiran
di seluruh negeri Sabah, khususnya di pantai timur dan pulau berhampiran
bagi memastikan keselamatan manakala orang awam juga boleh menyalurkan
maklumat kepada bilik gerakan polis Sabah.
Abdul Khalid turut
menyatakan rasa terharu terhadap penghormatan oleh kerajaan negeri
Sarawak agar mendiang Michael disemadikan di perkuburan pahlawan bersama
wira Sarawak, termasuk Datuk Temenggong Kanang Langkau.
Katanya penghormatan itu akan meningkatkan lagi semangat pasukan polis di negara ini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment