Semporna, 6 Mac - Polis menahan empat lelaki
yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh yang
terlibat dalam kejadian serangan hendap di Kampung Sri Jaya Simunul, di
sini, Sabtu lepas.
Empat lelaki yang ditahan dalam operasi khas
oleh sekumpulan anggota polis dari jabatan cawangan jenayah berat Ibu
Pejabat Polis Kontinjen Sabah itu berusia dalam lingkungan 20-an hingga 50-an.
Menurut polis, operasi yang dijalankan di Jalan Lapangan Terbang,
kira-kira lima kilometer dari Pekan Semporna, bertujuan menangkap
penceroboh yang didakwa menyamar sebagai penduduk kampung di beberapa
kawasan di Semporna.
"Bertindak hasil maklumat awam dan
maklumat risikan yang dikumpul sejak beberapa hari lepas, kami berjaya
menahan empat lelaki untuk siasatan," kata pegawai berkenaan.
Beliau berkata operasi itu bermula pada pukul 12 tengah hari dan berakhir 1.15 tengah hari.
Tinjauan Bernama di lokasi operasi mendapati dua rumah diperiksa dan
polis berjaya menahan dua lelaki di rumah itu manakala seorang lelaki
ditahan ketika keluar dari belukar dan seorang lagi ditahan dalam
pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan yang mencurigakan.
Dalam kejadian Sabtu lepas, enam anggota polis terkorban dalam serang
hendap oleh kumpulan pengganas bersenjata. Kejadian pada pukul 8 malam
itu turut menyebabkan enam pengganas terbunuh. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment