IPOH, 7 Mac - Dua perwira negara yang cedera akibat insiden
tembakan dengan penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo, Sabah, Sabtu
lalu diterbangkan ke sini, hari ini bagi menjalani rawatan susulan.
Koperal Mohd Tarmizi Hashim, 32, dan Koperal Azman Ampong, 39, yang
merupakan anggota Komando VAT 69 tiba dengan pesawat Cessna Caravan 208
dari Pangkalan Udara Sungai Besi, di hangar Pangkalan Latihan Unit
Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini pada 5.30 petang.
Kedua-dua anggota Komando itu diterbangkan dari Lahad Datu, Sabah pada 8 pagi tadi dengan pesawat King Air PDRM ke Sungai Besi.
Sebelum ini, kedua-dua mereka menerima rawatan di Hospital Lahad Datu
selepas masing-masing cedera di bahu kanan dan kaki serta bahagian
punggung dan paha akibat ditembak penceroboh bersenjata dalam insiden
berkenaan.
Sebaik mendarat, mereka dikejarkan dengan
ambulans untuk dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini bagi
rawatan susulan.
Turut menyambut kepulangan kedua-dua
wira negara itu ialah Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul
Kadir, Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahalan, warga PDRM dan
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta anggota Persatuan Keluarga Polis
(Perkep).
Sementara itu, Mohd Shukri menyifatkan semua
anggota pasukan keselamatan sama ada yang cedera, terkorban mahupun yang
sedang bertugas, kini memiliki semangat yang amat tinggi serta
ketahanan yang cekal demi mempertahankan tanah air.
"Mereka amat bersiap siaga, hanya menunggu arahan sahaja untuk dikerahkan ke sana demi kedaulatan negara," katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Perak dan pihak
yang tampil menghulurkan sumbangan dan dana bagi membantu keluarga
anggota yang terkorban. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment