KOTA BHARU - Gugur daripada barisan Exco Kanan Kerajaan Negeri tidak 
mematahkan semangat Timbalan Pesuruhjaya II Pas Negeri, Datuk Husam Musa
 untuk terus mempertahankan kerajaan Pas sehingga akhir hayatnya.
Katanya, selagi Pas ini berdiri atas nama Islam yang Syumul, 
melaksanakan kewajipannya mengikut Allah SWT, beliau akan tetap 
mempertahankan kerajaan Pas sampai akhir hayatnya.
"Tetapi kalau kerajaan ini (Pas) bersifat duniawi 
yang nak mengaut balak, lombong, Nauzubillah… Ampunkan saya kalau saya 
berdiri di dalam dewan untuk memperbetulkan kerajaan.
“Saya masuk dalam perjuangan ini bukan main-main. Saya masuk ini untuk 
melihatkan apa yang kita usrahkan Islam yang syumul, Islam yang 
komprehensif, yang menjaga khazanah negeri dan negara supaya miskin dan 
yatim piatu, mereka itu dibela dan Islam menjadi model. Ini cita-cita 
saya,” kata Husam yang juga Adun Salor. .
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Majlis 
Kesyukuran Kemenangan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di Pondok
 Pasir Tumboh, di sini, malam kelmarin.
Dalam pada itu, mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd 
Amar Abdullah, beliau turut mengakui tidak menerima jemputan untuk hadir
 mesyuarat pada pagi 6 Mei lalu.
“Maaf, saya tidak terima jemputan tersebut. Tolong tunjukkan surat, 
sistem pesanan ringkas (SMS), telefon, yang bercakap dengan saya. Maaf 
saya tidak mahu perbesarkan isu ini. Ini perkara teknikal. Tidak perlu 
jelaskan.
“Saya boleh terima semua keputusan tersebut demi kebaikan parti, 
kemudian diganti dengan sebab-sebab saya tidak dilantik. Saya tidak 
minta apa sebab saya tidak dilantik. ‘Terkilas ikan di air, saya tahu 
jantan betinanya’,” katanya.
Husam yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, 
Perancangan Ekonomi dan Kewangan selama dua penggal berkata, atas 
pengguguran tersebut, beliau bukanlah orang yang yang berfikiran buntu, 
malah dapat mengesan perkara itu sejak empat tahun lalu.
“Jadi, tidak perlu beri sebab, saya tahu sebabnya. Sebab itu ada dalam 
dada saya. Saya tak perlu dedah kepada sesiapa demi menjaga keharmonian 
parti kita.
“Ibarat kalau kita pergi meminang anak orang, tiba-tiba tak jadi kahwin,
 atas sebab tertentu. Tidak perlulah beritahu (sebab) bulu betis dia 
panjang, kepala lutut dia senget, hidung dia kembang sebelah. Itu akan 
menyebabkan sakit hati teman yang kita pinang itu. Biasa kita sebut, 
tiada jodoh,” katanya.
Beliau akui boleh menerima keputusan tidak disenaraikan dalam exco di 
bawah pimpinan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, malah tidak 
pernah meminta namanya dimasukkan semula ke dalam senarai exco kerana 
menganggap kerajaan Pas adalah kerajaannya.
Katanya, sebagai orang Melayu, mereka perlu menjaga tatasusila tanpa 
melibatkan sultan dalam memberikan alasan demi menjaga keharmonian. ~sinar harian
 



 


 Kpl 1124833 Khairul Anuar
Kpl 1124833 Khairul Anuar





















































No comments:
Post a Comment