Apabila seorang muslim baik lelaki atau wanita akan berkahwin, 
biasanya akan timbul pelbagai perasaan akan timbul. Ada rasa gundah, 
resah, risau, bimbang, termasuk juga tidak sabar menunggu datangnya si 
pendamping. Bahkan ketika dalam proses taaruf sekalipun masih ada juga 
perasaan keraguan.
Inilah khabar gembira berupa janji Allah bagi orang yang akan berkahwin. Bergembiralah wahai saudaraku…
1. “Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji, dan 
lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula),dan 
wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang 
baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)”. (An Nuur : 26)
Bila ingin mendapatkan jodoh yang baik, maka perbaikilah diri. 
Hiduplah sesuai dengan ajaran Islam dan Sunnah Nabi-Nya. Jadilah lelaki 
yang soleh, jadilah wanita yang solehah. Semoga Allah memberikan hanya 
yang baik buat kita. Amin.
2. “Dan kawinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu dan 
orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki 
dan perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan 
kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (Pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui”. 
(An Nuur: 32)
Sebahagian para pemuda ada yang merasa bingung dan bimbang untuk 
berkahwin. Salah satu sebabnya adalah kerana belum mempunyai pekerjaan. 
Dan yang telah mempunyai pekerjaan pun tetap ada perasaan bimbang juga. 
Sebahagian mereka tetap ragu nilai gajinya. Dalam fikiran mereka, 
“apakah gaji ini cukup untuk berkeluarga dengan gaji sekian?”.
Ayat tersebut merupakan jawapan buat mereka yang ragu untuk 
melangkah ke jinjang pernikahan kerana alasan ekonomi. Yang perlu 
ditekankan kepada para pemuda dalam masalah ini adalah kesanggupan untuk
 memberi nafkah, dan terus bekerja mencari nafkah memenuhi keperluan 
keluarga.
Allah akan menolong mereka yang menikah. Allah Maha Adil, apabila 
tanggungjawab para pemuda bertambah dengan kewajipan memberi nafkah 
kepada isteri dan anak-anaknya, maka Allah akan memberikan rezeki yang 
lebih. Tidakkah kita lihat kenyataannya di masyarakat, banyak mereka 
yang semula miskin tidak mempunyai apa-apa ketika berkahwin, kemudian 
Allah memberinya rezeki yang berlimpah dan mencukupkan keperluannya?
3. “Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, 
iaitu seorang mujahid fi sabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya 
supaya merdeka dan seorang yang menikah kerana ingin memelihara 
kehormatannya”. (HR. Ahmad 2: 251, Nasaiy, Tirmidzi, Ibnu Majah hadits 
no. 2518, dan Hakim 2: 160)
Bagi siapa sahaja yang berkahwin dengan niat menjaga kesucian 
dirinya, maka berhak mendapatkan pertolongan dari Allah berdasarkan 
penegasan Rasulullah dalam hadits ini. Dan pertolongan Allah itu pasti 
datang.
4. “Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan 
untukmu isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa 
tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. 
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda 
bagi kaum yang berfikir”. (Ar Ruum : 21)
5. “Dan Tuhanmu berfirman : ‘Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan 
Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri 
dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina’ “.
 (Al Mu’min : 60)
Ini juga janji Allah ‘Azza wa Jalla, bila kita berdoa kepada Allah 
nescaya akan diperkenankan-Nya. Termasuk di dalamnya ketika kita berdoa 
memohon diberikan pendamping hidup yang agamanya baik, cantik, taat, dan
 sebagainya.
Dalam berdoa, perhatikan adab dan sebab terkabulnya doa. 
Diantaranya adalah ikhlas, bersungguh-sungguh, merendahkan diri, 
menghadap kiblat, mengangkat kedua tangan, dan lain – lain.
Perhatikan juga waktu-waktu yang mustajab dalam berdoa. Diantaranya
 adalah berdoa pada waktu sepertiga malam yang terakhir dimana Allah 
‘Azza wa Jalla turun ke langit dunia, dan pada waktu antara azan dan 
iqamah, Perhatikan juga penghalang terkabulnya doa. Diantaranya adalah 
makan dan minum dari sumber yang haram, dan berpakaian dari usaha yang 
haram serta melakukan apa yang diharamkan Allah, Manfaat lain dari 
berdoa bererti kita meyakini keberadaan Allah, mengakui bahawa Allah itu
 tempat meminta, mengakui bahawa Allah Maha Kaya, dan mengakui bahawa 
Allah Maha Mendengar.
Sebahagian orangapabila jodohnya tidak kunjung datang maka mereka 
pergi ke dukun-dukun berharap agar jodohnya lancar. Cara seperti ini 
jelas dilarang oleh Islam. Perhatikan hadis-hadis berikut yang merupakan
 peringatan keras dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam:
“Barang siapa yang mendatangi peramal / dukun, lalu dia menanyakan sesuatu kepadanya, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam”. (Hadis sahih riwayat Muslim (7/37) dan Ahmad).
Telah bersabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Maka janganlah kamu mendatangi dukun-dukun itu.” (Sahih riwayat Muslim juz 7 hal. 35).
Telah bersabda Nabi SAW, “Sesungguhnya jampi-jampi (mantera) dan guna-guna itu adalah (hukumnya) syirik.” (Hadis sahih riwayat Abu Dawud (no. 3883), Ibnu Majah (no. 3530), Ahmad dan Hakim).
6. “Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat“. (Al Baqarah : 153)
Mintalah tolong kepada Allah dengan sabar dan solat. Agar datang 
pertolongan Allah, maka kita juga harus bersabar sesuai dengan Sunnah 
Nabi dan terbebas dari bid’ah-bid’ah.
7. “Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, 
sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan”. (Alam Nasyrah : 5 – 
6)
Ini juga janji Allah. Mungkin terasa bagi kita jodoh yang dinanti 
tidak kunjung datang. Segalanya terasa sulit. Tetapi kita harus tetap 
berbaik sangka kepada Allah dan yakinlah bahawa sesudah kesulitan itu 
ada kemudahan. Allah sendiri yang menegaskan dua kali dalam Surat Alam 
Nasyrah.
8. “Hai orang-orang yang beriman jika kamu menolong (agama) Allah, 
nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”. (Muhammad : 7)
Agar Allah menolong kita, maka kita tolong agama Allah. Baik dengan
 berinfak di jalan-Nya, membantu penyebaran dakwah Islam dengan 
penyebaran buletin atau buku-buku Islam, membantu penyelenggaraan 
pengajian, dan sebagainya. Dengan itu semoga Allah menolong kita.
9. “Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong 
(agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha 
Perkasa”. (Al Hajj : 40)
10. “Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”. (Al Baqarah : 214)
Itulah janji Allah. Dan Allah tidak akan menyalahi janjinya. 
Kalaupun Allah tidak / belum mengabulkan doa kita, tentu ada hikmah dan 
kasih sayang Allah yang lebih besar buat kita. Kita harus berbaik sangka
 kepada Allah. Inilah keyakinan yang harus ada pada setiap muslim.Jadi, kenapa ragu – ragu dengan janji Allah?
 



 


 Kpl 1124833 Khairul Anuar
Kpl 1124833 Khairul Anuar





















































No comments:
Post a Comment