Pasukan antirusuhan Filipina berkawal di hadapan
Kedutaan Malaysia di Makati, Manila bagi menghalang tindakan penyokong
Jamalul Kiram yang membuat bantahan, semalam. - Foto AP
Putrajaya: Wisma Putra menggesa Filipina mengambil tindakan tegas
terhadap Jamalul Kiram III ekoran tindakannya mengeluarkan banyak
kenyataan berunsur menghasut sehingga menimbulkan kebencian dan
keganasan.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata
Malaysia menganggap kumpulan diketuai Kiram yang mendakwa dirinya
sebagai Sultan Sulu itu adalah pengganas.
“Ini berikutan kekejaman dan keganasan mereka membunuh anggota
keselamatan negara termasuk dua di Lahad Datu dan enam di Semporna.
Malah Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Albert F Del Rosario bersetuju
bahawa kumpulan ini perlu dilabel sebagai pengganas.
“Malaysia juga memerlukan penjelasan mengenai undang-undang
yang akan diguna pakai untuk mendakwa pengganas ini di Filipina supaya
ia dapat dikaji oleh Jabatan Peguam Negara Malaysia,” katanya dalam
kenyataan semalam.
Anifah mengadakan pertemuan dengan Rosario
di Kuala Lumpur malam kelmarin membincangkan perkembangan di Lahad
Datu dan Semporna.
No comments:
Post a Comment