Saya bukan pro-kerajaan atau pro-pembangkang. Maklumat yang ada di blog ini ada macam-macam. Ada maklumat sahih, ada yang tidak sahih dan ada yang direka. Anda perlu melihat, semak dan menilainya sendiri. Saya merujuk semua maklumat untuk diri sendiri dan tidak bertanggungjawab ke atas maklumat di blog ini yang mungkin digunakan atau di salahgunakan untuk lain-lain tujuan.
Saturday, 23 March 2013
SEORANG PENCEROBOH DITEMBAK MATI, WANITA DITAHAN DALAM OP DAULAT
Lahad Datu, 21 Mac - Pasukan keselamatan
menembak mati seorang pengganas ketika operasi penggeledahan di Kampung
Tanjung Batu pada kira-kira 1.30 tengah hari semalam, menjadikan jumlah
keseluruhan yang maut 63 orang.
Seorang militan wanita berusia lewat 40-an serta tidak bersenjata turut ditahan dalam operasi itu.
Panglima Angkatan
Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kejadian itu susulan
daripada pertempuran yang tercetus pada 11.30 pagi yang menyebabkan
seorang anggota tentera cedera di jari kiri akibat terkena serpihan
peluru.
"Susulan itu, pasukan keselamatan terus menjejaki musuh
dan berlaku pertempuran di mana pasukan kita telah membunuh seorang
daripada mereka serta menahan seorang wanita.
"Anggota tentera
yang tercedera dibawa ke hospital berdekatan dan selepas pembedahan,
keadaannya stabil," katanya pada sidang akhbar bersama Timbalan Ketua
Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Markas Operasi Felda Sahabat
16, dekat sini hari ini.
Berhubung kemungkinan penduduk Kampung
Tanduo boleh kembali ke kediaman masing-masing, Zulkifeli berkata
pasukan penilaian terdiri daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN),
Majlis Daerah Lahad Datu dan Ibu Pejabat Polis Lahad Datu akan
digerakkan ke kampung itu selewat-lewatnya esok bagi melakukan penilaian
keseluruhan sebelum penduduk dibenar pulang.
Beliau berkata
kelewatan membenarkan penduduk pulang ke rumah ialah bagi memastikan
kewasan kampung itu yang di kelilingi paya, hutan dan semak samun,
benar-benar selamat daripada ancaman selepas ia menjadi sasaran utama
militant selain berlaku banyak pertempuran di situ sebelum ini.
"Dari segi kerosakan fizikal agak mudah untuk dinilai tetapi dalam
aspek keselamatan kami perlu pastikan keadaan benar-benar bersih dan
selamat sebelum penduduk dibenar kembali ke kediaman mereka," katanya
dan memberitahu bahawa hanya terdapat 12 rumah penduduk di kampung itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifeli turut menafikan dakwaan bahawa
sekumpulan lelaki dari Sabah akan dihantar ke Filipina untuk membunuh
Kiram, dan berkata dakwaan itu tidak berasas dan mengarut.
Sementara itu, Khalid ketika ditanya sama ada pihak berkuasa mempunyai
bukti sehingga lapan militan didakwa di mahkamah berkata: "Sudah tentu,
tapi kita tidak boleh dedahkan dan jika tiada bukti bagaimana kita boleh
mendakwa mereka.
Beliau berkata mana-mana pihak yang cuba
mempertikai tindakan itu perlu menunggu sehingga perbicaraan dan
sekiranya mempunyai sebarang persoalan ia boleh dirujuk kepada Wisma
Putra.
Lapan rakyat Filipina hari ini didakwa di Mahkamah
Tinggi di Tawau dan dua daripadanya bakal berdepan hukuman mati kerana
dituduh melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi
anggota kumpulan pengganas.
Empat lagi didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas manakala dua yang lain didakwa cuba melindungi sekumpulan pengganas.
Kesemua mereka ialah antara 108 individu yang disiasat mengikut Akta
Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.
Berhubung statistik terkini pencerobohan, Khalid berkata 30 mayat
militant berjaya dikeluarkan dan selesai dibedah siasat, namun sehingga
kini tiada pihak tampil menuntut mayat-mayat itu.
Jumlah
tangkapan di bawah SOSMA kekal 108 orang, manakala 268 individu ditahan
mengikut lain-lain akta setakat ini, katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment