Google+ Followers

Saturday, 23 March 2013

TIADA PETUNJUK KAITKAN MILITAN YANG TAWAN SURI RUMAH - POLIS

Gambar Hiasan

Lahad Datu, 22 Mac - Polis meminta orang ramai supaya tidak mendengar khabar angin berhubung insiden seorang suri rumah yang mendakwa ditawan empat pengganas lebih dua jam di rumahnya di Kembara Sakti, Felda Sahabat 43 di sini, petang semalam.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Tan Kok Liang berkata selain tiada petunjuk jelas, siasatan awal yang dilakukan juga mendapati wujud keraguan untuk mengaitkan insiden pada 2 petang itu dengan militan pengganas seperti dakwaan suri rumah terbabit.

"Memang ada kejadian di kampung itu dan walaupun polis meragui dakwaan itu kami tetap melakukan siasatan dan sehingga kini tiada petunjuk yang boleh dikaitkan dengan pengganas," katanya pada sidang akhbar di markas operasi di Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian itu, seorang suri rumah yang bersendirian dilapor didatangi empat pengganas yang bertindak mengikat kedua-dua kaki dan tangan mangsa. Wanita itu dikatakan berjaya melepaskan diri ketika militan terbabit leka mencari makanan.

Sambil menafikan bahawa ada tembakan dilepaskan dalam kejadian itu, Tan berkata khabar angin berkenaan mencetuskan suasana panik dan mendorong penduduk bertindak melarikan diri dan bersembunyi di masjid berdekatan.

Beliau berkata berikutan itu, beberapa anggota keselamatan ditempatkan di kampung berkenaan bagi memastikan penduduk berasa selamat dan selesa untuk meneruskan aktiviti harian masing-masing.

Mengenai kerja-kerja penilaian di Kampung Tanduo, beliau berkata keputusan berhubung penilaian yang dilakukan Majlis Keselamatan Negeri akan diumum selepas laporan lengkap mengenai kerosakan dan jumlah pampasan yang akan diterima mangsa dibentang kepada Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman selewat-lewatnya minggu depan.

Berhubung statistik terkini Operasi Daulat, Tan berkata dua daripada 285 individu yang ditangkap masing-masing ditahan mengikut Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Akta Pendaftaran Negara, manakala selebihnya mengikut Akta Imigresen.

"Jumlah yang ditahan mengikut Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)) kekal 108 orang, manakala bilangan anggota keselamatan yang terkorban dan cedera juga masing-masing kekal 10 orang," katanya dan memberitahu bahawa operasi pembersihan dan penggeledahan di Kampung Tanjung Batu
masih diteruskan.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
A-Fatiha
Ahmad Farhan Ruslan
A-Fatiha Kpl 1124833 Khairul Anuar

Blog Archive

Pemantau Bebas 2020 Followers: