Google+ Followers

Monday, 18 March 2013

Shah Alam: POLIS PERCAYA SELESAI KES SAMUN DAN ROGOL WANITA AMERIKA SYARIKAT


Shah Alam 18 Mac - Polis percaya telah menyelesaikan kes samun dan rogol melibatkan seorang wanita warga Amerika Syarikat pada 11 Mac lepas dengan penahanan tujuh individu termasuk lima orang di Kajang awal hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata lima suspek tiga lelaki dan dua wanita berumur antara 28 dan 39 tahun itu ditahan secara berasingan di dua buah rumah di Pangsapuri Desa Mutiara, Taman Sungai Jeluk, Kajang pada kira-kira 6.30 pagi.

"Dalam serbuan itu polis turut merampas sebilah pisau dan enam telefon bimbit pelbagai jenis," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Polis Selangor sebelum ini menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menyiasat kes membabitkan mangsa, yang merupakan guru Bahasa Inggeris berumur 20-an, yang menaiki teksi dari sebuah pusat beli-belah di Mutiara Damansara, dekat sini sebelum dibawa ke sebuah lokasi di Sungai Pelek, Sepang dan dirogol.

Polis sebelum ini memberkas seorang lelaki berumur 47 tahun di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada 13 Mac lepas dan keesokannya menahan seorang suri rumah berumur 28 tahun di sebuah rumah di Balakong, yang hasil siasat terhadapnya membawa kepada penahanan lima suspek terbabit.

Mohd Adnan berkata kesemua tujuh suspek terbabit dipercayai anggota sebuah sindiket yang terbabit dalam kes samun dan rogol warga Amerika Syarikat itu.

Beliau berkata polis juga sedang menyiasat kemungkinan sindiket yang sama terbabit dalam beberapa lagi kejadian jenayah samun membabitkan penumpang teksi di sekitar Lembah Klang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
A-Fatiha
Ahmad Farhan Ruslan
A-Fatiha Kpl 1124833 Khairul Anuar

Blog Archive

Pemantau Bebas 2020 Followers: