Google+ Followers

Thursday, 14 March 2013

BALU DSP MICHAEL PADEL UCAP TERIMA KASIH ATAS SEMUA SUMBANGAN

Jabah Mingku, 35

Serian, 14 Mac - Balu kepada mendiang DSP Michael Padel, Jabah Mingku, 35, berterima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus menyalurkan sumbangan kepada mereka sekeluarga.

Beliau berkata sumbangan dari segi kewangan dan moral itu amat dihargai dalam menghadapi detik sukar ketika ini.

"Saya ingin berterima kasih kepada semua yang mengambil berat kebajikan keluarga kami...selepas kejadian, saya, anak dan anggota keluarga sememangnya amat memerlukan sokongan moral dari semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima lawatan Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad dan kira-kira 50 pegawai, anggota serta anggota Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching (IPD Kuching), di Kampung Bidayuh Tebakang, di sini hari ini.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Jabah yang dilihat masih bersedih berkata beliau bersama anak lelaki tunggal Macluie, 11, merancang berpindah dan menetap di rumah keluarga mendiang Michael di kampung tersebut.

"Saya cadang untuk pulang dan menetap di sini dan cari sekolah yang terbaik untuk anak kami (Macluie) teruskan persekolahan. Mendiang Michael semasa masih hidup sangat pentingkan anak kami dan sentiasa pastikan anak mendapat semua yang terbaik termasuk dari segi pendidikan.

"Mendiang pun pernah pesan dan bagi semangat kepada anak kami untuk belajar bersungguh-sungguh kerana katanya, bila pandai senang cari kerja dan boleh dapat gaji besar (tinggi)," katanya.

Sementara itu, Jabah berharap krisis pencerobohan pengganas Sulu di Sabah dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Saya percaya bukan semua orang terutama isteri anggota pasukan keselamatan dapat terima apa yang berlaku sekarang ini. Saya tidak mahu ada lagi isteri-isteri anggota pasukan keselamatan lain akan lalui apa yang saya hadapi, saya sendiri sampai sekarang masih tidak percaya dan sukar untuk terima apa yang sudah berlaku," katanya.

Mendiang Michael, 36, yang juga Ketua Cawangan Khas, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Semporna merupakan seorang daripada dua pegawai dan empat anggota polis yang terkorban dalam serangan hendap pengganas Sulu di Kampung Seri Jaya Simunul, Semporna pada 2 Mac lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
A-Fatiha
Ahmad Farhan Ruslan
A-Fatiha Kpl 1124833 Khairul Anuar

Blog Archive

Pemantau Bebas 2020 Followers: