Google+ Followers

Saturday, 9 March 2013

POLIS PERIKSA KAMPUNG SIMUNUL KESAN SAKI-BAKI SENJATA PENCEROBOH MILITAN

Semporna, 9 Mac - Polis hari ini menjalankan pemeriksaan di Lorong 5, Kampung Simunul, di sini bagi mengesan saki-baki senjata kumpulan penceroboh militan yang terlibat dalam kejadian serangan hendap 2 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Semporna, DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata, pemeriksaan itu melibatkan kira-kira 100 anggota polis dari komando VAT 69, Unit Tindakan Khas Bukit Aman, Pasukan Gerakan Am Batalion 14 dan Unit Forensik.

"Selain untuk mengesan senjata api, kami juga membuat lakaran lokasi kejadian termasuk lakaran laut secara spesifik," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tinjauan Bernama ke lokasi kejadian mendapati pemeriksaan yang bermula seawal 8 pagi dan berakhir lima jam kemudiaan mendapati rata-rata penduduk melahirkan perasaan lega apabila polis menjalankan pemeriksaan di kawasan itu.

Ketua Kampung Simunul, Ramlee Saraman berkata pemeriksaan seumpama itu adalah yang pertama sejak kejadian serangan hendap yang mengorbankan enam anggota polis dan menyebabkan enam musuh terbunuh.

"Ketika polis membuat pemeriksaan, penduduk yang berada di dalam rumah diarah tidak keluar rumah, manakala yang ingin masuk ke dalam rumah diarah tunggu sehingga pemeriksaan selesai," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata pemeriksaan anggota pasukan keselamatan itu menimbulkan perasaan lega penduduk yang sebelum ini hidup dalam kebimbangan berikutan kejadian pertempuran antara polis dan penceroboh militan itu.

"Penduduk kampung kini boleh menarik nafas lega dan meneruskan kehidupan seperti biasa," katanya.

Ditanya mengenai jumlah penduduk yang kembali ke kampung, beliau berkata minggu lepas jumlah penduduk yang meninggalkan kampung ini hampir 1,000 orang tetapi hari ini hanya tinggal 300 orang yang belum pulang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
A-Fatiha
Ahmad Farhan Ruslan
A-Fatiha Kpl 1124833 Khairul Anuar

Blog Archive

Pemantau Bebas 2020 Followers: