Google+ Followers

Thursday, 14 March 2013

KESERATAAN GRED PDRM DENGAN PERKHIDMATAN AWAM TINGKAT KOMITMEN ANGGOTA


Kuala Lumpur, 14 Mac - Keserataan gred Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan perkhidmatan awam menjadi pemangkin kepada anggota pasukan keselamatan itu untuk meningkatkan komitmen menjaga keamanan negara.

Timbalan Pengarah Pengurusan Perkhidmatan dan Perjawatan Bukit Aman merangkap Pengerusi Persatuan Pegawai Polis Kanan cawangan yang diwartakan, Datuk Asri Yusoof berkata ia juga mampu menaikkan semangat dan dedikasi anggota keselamatan untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

Ketika dihubungi Bernama, Asri Yusoof berkata kesetaraan gred itu juga membuktikan bahawa kerajaan mengiktiraf sumbangan anggota pasukan keselamatan.

"PDRM bersyukur dan berterima kasih kerana kerajaan meluluskan permohonan itu setelah sekian lama memohon," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Isnin lepas mengumumkan berkuat kuasa 1 Jan 2013, kerajaan bersetuju pangkat dalam PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disetara dengan Perkhidmatan Awam Am selaras perubahan lapisan gred jawatan atau gaji.

Najib berkata ia mencakupi skop fungsi tugas, struktur pangkat serta kelayakan bagi skim perkhidmatan ATM dan PDRM.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pegawai Polis Lain-lain Pangkat SubInspektor Jamal Abdullah berkata PDRM amat berterima kasih kepada perdana menteri kerana meluluskan permohonan kesetaraan gred itu yang telah lama perjuangkan.

"Ini menunjukkan bahawa kerajaan prihatin terhadap PDRM khasnya kepada anggota polis lain-lain pangkat dalam usaha memperbaiki mutu perkhidmatan PDRM kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata kesetaraan gred penjawat awam ini akan memberi impak positif terhadap anggota keselamatan supaya mereka menjalankan tugas dengan penuh komitmen dan berintegriti.

"Kesetaraan gred ini juga menunjukkan kerajaan menghargai pasukan anggota keselamatan yang berjuang menentang pencerobohan di Lahad Datu, Sabah. Ia juga akan mendisiplinkan anggota pasukan keselamatan dan mengelakkan salah laku.

"Walaupun ada segelintir pihak memperlekehkan serta memandang rendah tugas polis dan tentera, saya menyeru kepada semua pasukan anggota keselamatan menganggapnya sebagai cabaran untuk menambah baik perkhidmatan," katanya.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
A-Fatiha
Ahmad Farhan Ruslan
A-Fatiha Kpl 1124833 Khairul Anuar

Blog Archive

Pemantau Bebas 2020 Followers: